Rabu, 13 Oktober 2010

Pembacaan puisi 30 jam tanpa henti di PNM sempena bulan bahasa minggu depan

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, Perpustakaan Negara Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan majlis pembacaan puisi 30 jam tanpa henti bermula 22 hingga 24 Oktober ini.

Pegawai Perhubungan Awam PNM, Nurazila Azizan berkata 18,000 puisi bertemakan 1Malaysia akan dibaca pada program Puisi Satu Malaysia Sejuta Puisi di pekarangan PNM di sini, dan majlis itu akan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records.

Beliau berkata bahan koleksi PNM seperti puisi dari Manuskrip Melayu dan koleksi Nadir juga akan dibaca pada majlis itu.

“Program ini bertujuan membudayakan nilai-nilai bahasa yang indah dan puitis sebagai medium komunikasi yang baik dan menyambung pusaka lama dalam bentuk puisi iaitu sejajar dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurazila berkata kumpulan sasaran program ini ialah 1,000 orang peserta dan penyertaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara percuma tanpa mengira kaum.

Katanya orang ramai yang berminat menyertai digalakkan membawa puisi sendiri yang bertemakan Puisi Satu Malaysia dalam bentuk “hard copy” dan “soft copy” dan dibaca mengikut gaya dan kemampuan masing-masing.

“Selain itu para peserta juga boleh menggunakan alat muzik yang bersesuaian dengan puisi yang dibaca,” katanya.

Nurazila berkata program ini akan dirakam dan diabadikan dalam DVD dan cakera padat supaya puisi yang terhimpun boleh dijadikan rujukan penting kepada masyarakat serta para pengkaji.

Perasmian program ini akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar dan Dekan Falkulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Proffesor Madya Dr Nor Nazmi Mostafa pada 22 Okt ini.

Beliau berkata orang ramai yang berminat boleh menghubungi PNM dengan menelefon 03-26871700 untuk mendaftar nama supaya penyertaan boleh dibahagikan mengikut kumpulan dan waktu untuk dibacakan puisi tersebut.

0 ulasan: