Jumaat, 9 September 2011

NGO Islam, Umno tolak dakwaan mahu jatuhkan MB S’gor

Ahli Parlimen Shah Alam mengesyaki terdapat konspirasi untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.



PETALING JAYA: Umno Selangor dan NGO Islam hari ini menafikan bahawa mereka terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Mereka bekeras menolak adanya perjumpaan khas membabitkan dua agensi kerajaan negeri iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Jabatan Peguam Negara bagi merancang konspirasi ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengesyaki ketiga-tiga agensi kerajaan ini telah mengadakan perjumpaan khas untuk menjatuhkan menteri besar Selangor.

Menurutnya, kesangsiannya itu timbul ekoran satu perjumpaan khas yang didakwa telah diadakan berhubung tindakan menteri besar dalam menangani isu serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

“Saya difahamkan satu perjumpaan khas telah diadakan di antara NGO-NGO Islam bersama Jais dan Dato (Mohd) Adzib (Isa) dari Mais dan wakil dari pejabat Peguam Negara turut hadir.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, beliau percaya kenyataan pemimpin PAS itu berdasarkan satu seminar melibatkan 40 NGO Islam mengenai akidah Islam di Masjid Negeri Shah Alam bulan lalu.

Katanya, seminar yang ditaja oleh Mais itu turut dihadiri oleh pegawai kanan Jais, Mais dan pejabat mufti Selangor.

“Pelbagai perkara mengenai umat Islam dan akidah dibincangkan secara panjang lebar dalam seminar yang dihadiri ratusan orang.

“Tetapi saya memberi jaminan tidak ada seorang peserta pun yang membangkitkan isu pentadbiran menteri besar Selangor kerana ia bukan bidang kuasa NGO,” katanya.

Tiada hubungan dengan Jais, Mais

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus pula berkata, Umno negeri tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Jais dan Mais.

“Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang boleh mengarahkan Jais dan Mais kerana kedua-dua jabatan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tetapi semasa Barisan Nasional berkuasa, kita tidak pernah mencampuri urusan Mais dan Jais dan kita tahu tidak ada ketua Umno dibenarkan berceramah mengenai agama Islam,” katanya.

Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang berkata, pemimpin PAS Selangor itu mengeluar kenyataan kerana kecewa Jais mendakwa beliau kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah.

Menurutnya, akibat kekecewaan itu ahli Parlimen Shah Alam itu terus mengeluarkan kenyataan Jais dan dua agensi lain merancang untuk menjatuhkan menteri besar Selangor.

0 ulasan: