| KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak mengemukakan usul permohonan maaf kepada mangsa-mangsa ISA dan keluarga mereka pada persidangan Parlimen yang akan bermula 3 Oktober ini.
Tindakan tersebut amat perlu dilakukan oleh Perdana Menteri bagi membuktikan keikhlasan hatinya untuk melakukan tranformasi politik sehingga membawa kepada pemansuhan ISA.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri tidak perlu malu untuk memohon maaf kepada mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga mangsa ISA malah ia merupakan satu sifat terpuji.
Menurut beliau, kezaliman yang dilakukan ke atas mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga mangsa ISA itu adalah kezaliman Kerajaan BN dan ia perlu dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, dalam hubungan ini, Najib perlu mengambil contoh baik yang telah ditunjukkan oleh bekas Perdana Menteri Australia yang kini menjadi Menteri Luar Negeri Australia, Kevin Rudd yang pernah memohon maaf kepada Orang Asli Australia akibat kezaliman Kerajaan Australia kepada Orang Asli di negara itu.
"Permohonan maaf itu dilakukan oleh Kevin Rudd ketika dia menjadi Perdana Menteri Australia dan dilakukan di dalam Parlimen. Jadi apa salahnya jika Datuk Seri Najib juga memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa ISA di dalam Parlimen juga," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Semalam, Bernama Online melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan tidak akan meminta maaf kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ataupun keluarga mereka ekoran keputusan kerajaan mahu memansuhkan akta pencegahan yang kontroversi itu.
Menurut Hishammuddin, desakan pelbagai pihak termasuk yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mahukan kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah ISA tidak perlu dilayan.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini dibelenggu pelbagai isu berikutan kenyataan kontroversinya tentang komunis.
“Dia (Mohamad Sabu) sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Dia sudah banyak isu, Polis pun marah kat dia. Saya tidak mahu layan lagi Mat Sabu,” katanya.
Selain Mohamad, beberapa pihak lain termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga meminta kerajaan meminta maaf dan membayar pampasan kepada tahanan dan keluarga mereka.
Mereka yang pernah ditahan di bawah ISA dilaporkan berjumlah melebihi 10,000 orang sejak akta itu dikuatkuasakan sejak tahun 1960 lalu.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri pada 16 September lalu berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA bukan suatu retorik, tetapi adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menggubal dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA yang digubal ketika negara sedang menghadapi ancaman pengganas komunis.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan negara berada di dalam keadaan terjamin walaupun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan ISA.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mahfuz berkata, kenyataan Hishammuddin itu jelas tidak bertanggungjawab malah ternyata menyimpang dari perkara yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
"Kenapa dikatakan desakan Mohamad Sabu yang tak perlu dilayan? Pada hal perkara yang dibangkitkan itu bukan soal Mohamad Sabu, tetapi kezaliman BN selama ini kepada mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga mangsa ISA.
"Itulah sebabnya pelbagai pihak mendesak Kerajaan BN menerusi Perdana Menteri sendiri yang memohon maaf kepada mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga mangsa ISA, bukan soal melayan Mohamad Sabu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, beliau dan keluarganya juga turut menjadi mangsa kezaliman ISA dan Perdana Menteri juga perlu memohon maaf kepada beliau dan keluarganya berhubung perkara itu.
Namun, beliau amat kesal dengan kenyataan Hishammuddin kerana ia jelas melambangkan keangkuhan dan kesombongannya, walaupun pihak Kerajaan BN sendiri telah mengakui ISA adalah akta zalim, sehingga Perdana Menteri sendiri mengakui ISA perlu dimansuhkan, sesuai dengan kehendak semasa dan tuntutan rakyat.
|
0 ulasan:
Catat Ulasan