Pendekatan berkempen telah pun dipersetujui oleh komponen parti Pakatan Rakyat.
PETALING JAYA: Rata-rata pemimpin PAS menolak ramalan bahawa PAS akan kehilangan undi Melayu di peringkat akar umbi.
“Masalah hanya akan timbul sekiranya DAP memperjuangkan isu masyarakat Cina secara keterlaluan. Tetapi DAP tidak begitu,” kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ramalan Profesor Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Semalam, penganalisa politik tersebut dilaporkan sebagai berkata bahawa kempen DAP yang terlalu memfokuskan kepada undi Cina akan menyebabkan PAS kehilangan undi Melayu di peringkat akar umbi.
“DAP menjalankan kempen mengenai urus tadbir baik dan keadilan untuk semua seperti juga PAS dan PKR.
“Masyarakat Cina menyokong DAP kerana isu tersebut,” jelas Khalid yang juga adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.
Beliau turut menggesa masyarakat Melayu untuk bersatu menyokong gabungan Pakatan Rakyat.
“Masyarakat Melayu perlu berada di hadapan dalam menyokong isu yang diperjuangkan seperti masyarakat Cina.
Khalid juga yakin bahawa ura-ura keterlaluan DAP akan diputar belit oleh Umno untuk meraih undi Melayu.
Kempen “PAS Ganti Umno”
Sementara itu, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof Rawa turut menolak ramalan Shamsul kerana pendekatan berkempen sudah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat.
“Pakatan Rakyat telah pun bersetuju secara prinsip dalam kempennya iaitu kedudukan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan raja-raja.
Beliau menambah bahawa ramalan tersebut hanya cubaan Umno untuk mendapatkan undi Melayu sebaliknya Pakatan Rakyat berjuang untuk segenap lapisan masyarakat.
“Semua orang adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak yang dijamin di bawah Perlembagaan.”
Beliau menambah PAS telah pun memulakan kempen “PAS Ganti Umno” pada tahun lepas.
“Jika masyarakat Melayu bimbangkan kempen DAP keterlaluan mereka sepatutnya mengundi PAS agar PAS boleh mewakili kepentingan
Melayu dan segenap lapisan masyarakat,” kata Mujahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw pula menolak dakwaan bahawa kempen DAP akan memberi kesan seperti mana yang diperkatakan oleh Shamsul.
“Kita akui bahawa DAP memperjuangkan majoriti isu masyarakat Cina tetapi mereka juga memperjuangkan isu masyarakat Melayu, India, Kadazan dan sebagainya,” kata Hu.


0 ulasan:
Catat Ulasan