Bermula Ogos 2010 kerajaan telah meluluskan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan proses penyukatan ukur keliling NCR dalam tiga fasa di seluruh negeri Sarawak.
KUCHING: Kerajaan telah terbukti serius serta ikhlas ketika melaksanakan penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi Inisiatif Baru NCR, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber 2 Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan.
Menurutnya, setakat 8 Ogos lepas sebanyak 25 kawasan seluas 7,325 hektar NCR di seluruh negeri ini telah diwartakan.
Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata hasil daripada penerangan dan dialog antara Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan pemilik tanah NCR, rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan.
“Ini sekali gus memberikan kerjasama dan menyokong pelaksanaan penyukatan ukur keliling (perimeter) NCR untuk faedah serta keuntungan mereka pada masa depan,” katanya.
Setakat ini kerajaan dan JTS amnya, berhadapan dengan masalah untuk menyukat NCR di enam kawasan di seluruh negeri ini termasuk
di Limbang (Batu Dua, kawasan Tadu/Sg Cina/Pundut, Sg Melusok), Kapit (Ng Pulang /Antawau), Bintulu (Sg Sujan/Sg Kubud) dan Mukah (kawasan Jalan Selangau/Matadeng 2).
Tegasnya, penyukatan NCR ini yang telah dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi dengan menyerahkan surat hak milik tanah kepada pemilik NCR.
“Usaha ini tetap berterusan. Niat kerajaan juga ikhlas dalam melaksanakan penyukatan NCR dibawah Inisiatif Baru NCR ini.
‘Bukan gimik politik’
“Ini bukan gimik politik. Kita (kerajaan) benar-benar serius menyukat NCR dibawah Inisiatif Baru NCR ini, dan ia terbukti dengan kita telah mewartakan beberapa kawasan setakat ini.
Oleh itu, rakyat tidak sepatutnya mendengar serta terpengaruh dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab memandangkan rakyat sendiri yang meminta tanah NCR mereka untuk disukat.
“Apa yang menyedihkan, sebagai contohnya, masalah yang berlaku serta menyebabkan penyukatan di satu kawasan di Kapit tertangguh ialah terdapat orang yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai kakitangan JTS.
“Mereka ini datang bertemu penduduk dan memberitahu kerajaan hendak menyukat hanya tiga hektar tanah sahaja untuk seorang pemilik, selebihnya hendak dirampas.
“Kes seperti inilah yang menjejaskan usaha kerajaan yang menagih kerjasama, pandangan, pendapat serta hasil positif dari dialog yang diadakan sebelum kerja-kerja penyukatan dilaksanakan,” katanya.
Beliau diminta mengulas tentang perkembangan penyukatan NCR dibawah Inisiatif baru NCR sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di kediamannya di sini.
Awang Tengah berkata, bermula Ogos 2010 kerajaan telah meluluskan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan proses penyukatan ukur keliling NCR dalam tiga fasa di seluruh negeri ini.
Katanya, dalam tiga fasa iaitu sepanjang tempoh Ogos tahun lepas sehingga penghujung tahun ini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 191 kawasan (349,676 hektar).
Sebanyak 79 kawasan (55,397 hektar) akan diukur dengan kerajaan menyasarkan penyukatan ukur keliling siap dilaksanakan menjelang 2015 sebelum melaksanakan penyukatan NCR secara individu.
Hasrat kerajaan
“Kita berharap rakyat lebih memahami hasrat kerajaan. Bagi pihak JTS pula saya telah arahkan mereka untuk terus memberi penerangan dan mengadakan dialog dengan rakyat tentang dasar kerajaan yang begitu baik ini.
“Kerajaan melaksanakan penyukatan secara percuma dengan peruntukkan berjuta ringgit dan ia bukan paksaan. Tetapi setakat ini saya amat gembira kerana para penduduk memberi kerjasama dan membantu kerja-kerja penyukatan.
Mereka juga kelihatan begitu gembira apabila menerima surat warta tanah mereka kerana sedar ia untuk kebaikan dan faedah mereka di masa depan,” jelasnya.
Beliau menyangkal dakwaan pihak tertentu khasnya pembangkang yang mendakwa NCR di negeri ini lebih dari 1.6 hektar dan sebaliknya memberitahu hakikatnya ia hanya seluas lebih kurang 1.2 hektar sahaja dan banyak yang telah dimajukan.
Berkenaan dakwaan lebih dari 200 kes tanah NCR tertangguh dan diputuskan di mahkamah, Awang Tengah menjelaskan, memang terdapat kes yang masih tertangguh.
“Bagi kawasan yang masih terlibat dengan kes mahkamah ia perlulah dketepikan terlebih dahulu sebelum kes tersebut diselesaikan atau mereka sendiri yang minta tanah mereka untuk disukat,” jelas beliau.


0 ulasan:
Catat Ulasan