Bandaraya Kuching akan terus melalui masa hadapan yang sentiasa berubah sejajar dengan peningkatan penduduknya dari semasa ke semasa.
KUCHING: Struktur dan organisasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terdapat di Sarawak perlu dipertingkatkan bagi memastikan ia terus relevan dan memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat.
Ketua Menteri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud berharap penambahbaikan PBT sama ada di bandar atau luar bandar dapat dilaksanakan mulai tahun depan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bahagian dalam PBT yang dikenal pasti masih lagi mempunyai kelemahan dari segi fungsinya.
Menurutnya, memang diakui PBT telah melaksanakan tanggungjawab yang cukup baik dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat, namun ia belum mencukupi untuk mengimbangi kehendak rakyat yang sentiasa berubah pada masa kini.
Ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, beliau berkata, rakyat berkehendakkan PBT yang terdapat di kawasan mereka sentiasa memberi perkhidmatan terbaik.
“Oleh itu, adalah perlu PBT yang ada di negeri ini mempunyai struktur dan organisasi yang baik bagi memastikan perkhidmatan yang mereka berikan dapat diterima rakyat sebaik mungkin,” katanya.
Taib berkata, bandaraya Kuching misalnya akan terus melalui masa hadapan yang sentiasa berubah sejajar dengan peningkatan penduduknya dari semasa ke semasa.
Sejuta penduduk Kuching menjelang 2020
Katanya, bandaraya ini akan menyaksikan pertambahan populasi penduduk daripada 600,000 orang ketika ini kepada sejuta orang menjelang tahun 2020.
“Pertambahan jumlah penduduk dalam sesuatu kawasan PBT turut mewujudkan pelbagai kerenah msyarakat yang mempunyai latar belakang berbeza.
“Pihak kepimpinan termasuk kaunselar yang telah dilantik harus memahami kehendak masyarakat yang sentiasa inginkan suasana kehidupan yang selesa dan selamat,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat sentiasa menilai apa yang telah diberikan oleh PBT kepada mereka dan inilah salah satu cabaran yang dipikul oleh pihak MBKS untuk menangani cabaran masa depan.
Beliau memberitahu MBKS harus bergerak seiring dengan perubahan yang telah dinikmati oleh masyarakat pada hari ini.
“Rakyat sentiasa memberi tekanan kepada MBKS untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” jelasnya.
Ketua Menteri berbangga dengan pencapaian MBKS dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat dalam kawasan pentadbirannya di bandaraya ini.
Transformasi bandaraya ini tidak dapat dilakukan tanpa membawa kakitangan bersama bekerja dalam satu pasukan, ” katanya.


0 ulasan:
Catat Ulasan