Ahad, 16 Oktober 2011

DAP tempelak kenyataan Zahrain satu sekolah untuk semua

FREE MALAYSIA TODAY

Pengarah Biro Pendidikan Pemuda DAP Perak P. Sugumaran bertanya, "Di manakah salahnya sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran di negara ini?



PETALING JAYA: DAP hari ini menempelak ahli Parlimen bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan mendakwa kenyataan beliau meminta kerajaan memperkenalkan satu sekolah untuk semua dan menghapuskan sekolah pelbagai aliran berkemungkinan besar boleh membawa ketegangan kaum.

Pengarah Biro Pendidikan Pemuda DAP Perak P. Sugumaran bertanya, “Di manakah salahnya sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran di negara ini?

“Adakah beliau menuding jari pada kelakuan seorang individu atau pun dasar pendidikan negara yang diamalkan sejak zaman sejarah?

“Kenyataan Zahrain yang mahukan sekolah pelbagai aliran dimansuhkan, pasti akan meresahkan para ibu-bapa, murid dan pelbagai pihak.

“Kenyataan beliau yang bercakap tanpa menilai baik buruk itu, hanya akan menimbulkan kekacauaan pada dasar pendidikan negara ,” kata Sugumaran dalam satu kenyataan hari ini.

Zahrain telah membuat cadangan supaya kementerian pendidikan memperkenalkan kembali Sekolah Wawasan dan menghapuskan sekolah pelbagai aliran ketika membahaskan bajet 2012 di Dewan Parlimen baru-baru ini.

Bertutur dengan tertib

Menurut Sugumaran, Zahrain harus mengambil iktibar untuk bercakap dengan cara yang tertib tanpa menyingung perasaan mana-mana kaum secara spesifik.

Katanya, beliau tidak seharusnya meniup api perkauman atau menghina sekolah Tamil dan Cina semata-mata untuk melahirkan sekolah satu sistem untuk semua rakyat.

“Zahrain harus mengakui bahawa sekolah pelbagai aliran memiliki keunggulan yang lebih berbanding dengan sekolah satu aliran.
“Selain itu, sistem pengajaran juga akan menunjang prestasi akademik pelajar dari segi aktiviti korikulum dan sebagainya,” tambah Sugumaran.

Pada pandangan Sugumaran, Zahrain sedang berusaha untuk menarik perhatian pengundi, khususnya kaum Melayu bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Namun, beliau yakin pengundi di kawasan Bayan Baru tidak akan tertarik dengan kenyataan Zahrain.

0 ulasan: