Khamis, 13 Oktober 2011

Di mana Azan nak bertanding?

PKR Pahang sukar untuk membuat keputusan kedudukan Azan Ismail, ahli Parlimen PKR Indera Mahkota.



PETALING JAYA: PKR Pahang sukar untuk menentukan kedudukan ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan Azan kini telah menjadi Pengerusi PKR negeri Terengganu sejak beberapa bulan lalu.

Perkara ini diakui oleh Ketua Penerangan PKR Pahang, Razali Alias yang dihubungi hari ini.

“Azan lebih sesuai bertanding di Terengganu kerana beliau merupakan Pengerusi PKR Terengganu.

“Tetapi saya tidak pasti sama ada Azan mahu bertanding di Terengganu atau terus mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota ,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman dicalonkan juntuk bertanding dua kerusi iaitu Parlimen dan DUN.

Manakala, ketua cabang Temerloh Ahmad Nizam Abdul Hamid seorang peguam dicalonkan untuk bertanding di kerui Parlimen tersebut.

MB atau menteri?

“Terpulang kepada Datuk Fauzi sama ada mahu bertanding dua kerusi atau tidak. Kalau nak jadi menteri besar tanding DUN, kalau nak jadi menteri tanding kerusi Parlimen,” kata Razali sambil berseloroh.

Menurutnya, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan.

Razali berkata, PKR negeri akan meletakkan gandingan muka baru dan lama dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti semua calon termasuk golongan profesional.

“Kita memilih tiga nama calon untuk setiap kerusi sama ada DUN atau Parlimen berdasarkan indek pencapaian utama (KPI) parti,” tambahnya.

Dalam pilihan raya umum 2008 PKR Pahang menang dua kerusi Parlimen – Kuantan dan Indera Mahkota – tetapi tidak memenangi sebarang kerusi DUN.

Pilihan raya umum ke 13 dijangka diadakan pada awal tahun depan tetapi tempoh Parlimen berakhir pada bulan Mac 2013.

0 ulasan: