Tidak menjadi masalah sekiranya ada pihak berminat menjadi pemerhati dan malahan pihak yang berautoriti boleh menjadi pemantau mengikut kapasiti masing-masing.
PETALING JAYA: PAS Kelantan secara terbuka menerima mana-mana pihak yang berautoriti turut serta sebagai pemerhati dalam pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak menjadi masalah sekiranya ada pihak berminat menjadi pemerhati dalam pelaksanaan hudud dan malahan pihak yang berautoriti boleh menjadi pemantau mengikut kapasiti masing- masing,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan PAS Perak yang mencadangkan mufti negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai pemerhati bagi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri Kelantan menjelaskan Harussani juga boleh menjadi pemerhati tanpa sebarang lantikan dibuat.
“Beliau boleh menjadi pemerhati tanpa lantikan,” katanya ringkas.
Semalam Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, cadangan itu dibuat kerana bersetuju dengan nasihat Harussani ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan.
Pada 6 Oktober lalu, Harussani dilaporkan menasihati pentadbiran Najib agar membenarkan hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai percubaan dan memberi peluang pada undang-undang yang digubal pada tahun 1993 itu.
Harussani juga berkata, memandangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku sudah bersedia, beliau menyokongnya dan menasihatkan prosedur pelaksanaannya supaya lengkap.



0 ulasan:
Catat Ulasan