Ahad, 16 Oktober 2011

Ilmu Falak Memantapkan Ilmu Sains Umat

Oleh Afeeqa Afeera


SHAH ALAM : Umat Islam khususnya di Selangor diseru supaya lebih giat mempelajari dan mengkaji ilmu Falak, iaitu kajian saintifik berkenaan alam semesta sebagai usaha memantapkan pembangunan ilmu sains dan teknologi seperti yang dituntut dalam Islam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, sebagai umat Islam, ilmu Falak yang berkait rapat tentang peredaran bulan sememangnya diperlukan apabila mahu menentukan tarikh dan waktu bermulanya Ramadan atau satu Syawal.

Jelasnya, pengetahuan tentang perubahan waktu siang dan malam pula mampu membantu umat Islam menetapkan waktu solat fardhu yang berubah beberapa minit setiap bulan selain berupaya menentukan arah kiblat dengan tepat.

Justeru Khalid berkata, penganjuran Konvensyen Falak Negeri Selangor 2011 adalah wadah terbaik bagi mendidik dan mengajak masyarakat untuk mengenali ilmu Falak serta mempraktikkannya sekaligus berusaha menambahkan ilmu yang diyakini mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

"Menerusi penganjuran konvensyen ini, saya percaya Jabatan Mufti Selangor mendapat banyak pendapat yang bernas melalui kertas kerja dan perbincangan antara peserta. Semua ini pastinya mampu memberi maklumat berguna dalam penentuan arah kiblat, waktu solat dan cerapan anak bulan serta aspek lain yang berkaitan.

Saya berharap usaha Jabatan Mufti Selangor dapat diteruskan dengan melibatkan peserta pelbagai peringkat agar perkembangan ilmu Falak ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak yang lebih luas," ujarnya.

Khalid berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Falak Negeri Selangor 2011 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini petang tadi.

Konvensyen Falak yang berlangsung selama dua hari ini merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor yang bertujuan untuk pembangunan pendidikan ilmu Falak dan memberi pendedahan kepada orang awam mengenainya.

Antara pengisiannya adalah seperti pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar Falak dan pameran yang bertujuan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai peralatan Falak.

Selain itu, program Jom Teropong Angkasa turut dijalankan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di mana teleskop akan dibawa ke dataran untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat keindahan langit malam selain mengadakan Pertandingan Pelancaran Roket yang melibatkan institusi pendidikan di negeri Selangor.

Tambah Khalid, usaha mempelajari ilmu Falak ini dimantapkan lagi dengan pembinaan Balai Cerap Selangor di daerah Sabak Bernam yang telah beroperasi sejak tahun lepas.

0 ulasan: