Isnin, 10 Oktober 2011

Isa Samad: Saya tak tamak kejar jawatan Koperasi Felda

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata beliau tidak merebut jawatan termasuk kedudukan sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF), sebaliknya “memang akan menjadi” ketua badan itu kerana dibolehkan oleh undang-undang.

Malah Isa yang dilantik sebagai Pengerusi Felda hujung tahun lalu berkata beliau sudah memegang pelbagai jawatan sepanjang kerjayanya sebagai ahli politik dan tidak mendahagakan kedudukan.

“Saya memang akan menjadi Pengerusi KPF, tetapi itu bukan kerana saya hendak merebut jawatan. Saya tidak perlu merebut jawatan ini kerana saya pernah memegang bermacam-macam jawatan termasuk menteri besar, menteri dan sekarang pengerusi Felda,” kata beliau (gambar) dalam temu bual dengan akhbar tempatan hari ini.

“Saya hendak jelaskan bahawa apabila KPF diputuskan akan memainkan peranan sebagai sayap pelaburan yang terbabit dalam aktiviti komersial Kumpulan Felda, maka Pengerusi KPF sekarang iaitu Pengarah Besar yang mempunyai kuasa eksekutif tidak boleh lagi menjadi pengerusi kerana berlaku konflik kepentingan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Kata Isa, pemidahan yang dibuat itu adalah selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik dan sebab itu “saya diminta untuk menjadi Pengerusi KPF supaya segala transformasi yang akan dilakukan berjalan dengan lancar.”

“Pengarah Besar pun tiada apa-apa masalah dengan keputusan ini dan beliau bersetuju,” katanya lagi.

KPF, sebuah koperasi yang dimiliki oleh peneroka dan kakitangan Felda.

Baru-baru ini PAS mendesak Jabatan Pembangunan Koperasi menyiasat Isa atas tindakan melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF tanpa melalui mesyuarat agung sebagaimana peruntukan undang-undang koperasi.

Parti itu mendakwa pelantikan itu bertentangan dengan akta koperasi kerana urusan itu sepatutnya dibuat dalam mesyuarat agung dan bukannya dalam mesyuarat lembaga.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, “KPF ini adalah milik peneroka dan pada pandangan mereka, kepimpinan Pengarah Besar Felda dan juga Pengerusi KPF, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak perlu ditukar kerana sepanjang pimpinannya, KPF tidak pernah rugi bahkan berjaya memberikan dividen hingga 15 peratus tahun lalu.”

KPF adalah sumber kewangan utama bagi kakitangan dan peneroka Felda selain gaji dan pendapatan mereka sebagai peneroka. Hanya peneroka dan kakitangan Felda sahaja boleh menjadi ahli KPF.

“Oleh itu, Isa yang hanya dilantik untuk jangka waktu tertentu sahaja dan bukan kakitangan semestinya tidak layak jadi ahli,” kata beliau.

Isa pula mendakwa “segala yang ditulis dalam blog dan akhbar-akhbar mereka ini kebanyakan merupakan serkap jarang kerana mereka sendiri tidak tahu apakah transformasi yang akan kita lakukan.”

“Tidak benar dakwaan bahawa saya hendak merampas kuasa dan adalah tidak betul kononnya transformasi ini akan merugikan peneroka,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan.

0 ulasan: