Pemilik tanah tiada hak menentukan pembangunan tanah sendiri, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor.
PETALING JAYA: Akta Perbadanan Kampung Baru 2011 yang diluluskan kelmarin hanya dilihat sebagai ‘jalan mati’ kepada pemilik tanah dan penduduk Kampung Baru.
Walaupun akta tersebut menukar status Kampung Baru daripada tanah pertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersil (CCC), namun pemilik yang terikat kepada kuasa pentadbiran Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bimbang jika nasib mereka sama seperti keadaan di Putrajaya.
“Pemilik tanah tiada hak menentukan pembangunan tanah sendiri, sebaliknya melalui akta ini pihak Perbadanan berkuasa merampas mana-mana tanah dengan membayar ganti rugi yang nilainya ditentukan oleh pihak Lembaga yang dilantik menteri,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor.
Katanya, apa yang paling membimbangkan pihak Perbadanan masih gagal memberikan reka bentuk pelan pembangunan sebenar walaupun alasannya ciri-ciri kemelayuan dan keislaman tetap dikekalkan.
“Tidak mustahil yang kekal nanti hanyalah beberapa rumah asal penduduk yang dijadikan tempat pelancongan dan Masjid Kampung Baru sahaja, sedangkan rumah-rumah lain dan premis perniagaan akan diroboh dan digantikan dengan kondominum mewah serta lot-lot perniagaan bernilai tinggi untuk dijual kepada pelabur asing dari luar negara.
“Lihat sahaja kawasan disekeliling KLCC yang telah dibangunkan dengan unit-unit kondominium mewah yang majoritinya dimiliki dan dihuni oleh warga asing.
“Warga tempatan khususnya orang-orang Melayu di pindahkan ke kawasan pinggiran pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, pelantikan wakil penduduk sebagai Timbalan Pengerusi dalam Lembaga Perbadanan juga katanya hanyalah sebagai gimik politik kerana yang bakal dilantik itu nanti daripada kalangan orang yang menjadi ‘pak turut’ menteri sendiri.
Riduan berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin) mempunyai pengaruh yang besar dalam Perbadanan serta berkuasa memilih dan melantik ahli-ahli Lembaga dan secara tidak langsung boleh mempengaruhi sebarang keputusan Lembaga termasuk pemilihan kontraktor yang akan melakukan pembangunan di Kampung Baru.
“Kalau pun penduduk diberi hak memilih wakil mereka, tetapi kuasa dan suara (penduduk) hanya terhad sedangkan majoriti korum Lembaga adalah orang-orang yang dikuasai dan dilantik oleh Menteri.


0 ulasan:
Catat Ulasan