Rabu, 12 Oktober 2011

K'jaan alu-alukan isu Kg Baru dibawa kepada Agong


Abdul Rahim Sabri

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengalu-alukan cadangan Pakatan Rakyat untuk membawa isu Kampung Baru kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bawalah. Pada saya, kita dah luluskan di Dewan Rakyat. Sedang menunggu Dewan Negara (mewartakannya). Itu pun hanya 28 orang sahaja yang menentang.

"Termasuk mereka yang kuat menentang tak hadir semasa pengundian termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah.

"Jadi macam mana mereka komited terhadap rang undang-undang ini, atau menentang rang undang-undang itu," katanya dalam satu sidang media.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang lebih penting bagi kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru.

"Kita ikhlas untuk memajukan tanah orang dan ekonomi Melayu khususnya pemilik dan pewaris Kampung Baru," katanya.

NONEKatanya, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ditubuhkan sebagai pemudahcara, penyelaras, dan perancang dan tidak sekali-kali berniat untuk mengambil alih atau merampas mereka untuk dijual kepada pemaju yang lain.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung cadangan Anwar yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetengahkan isu Kampung Baru kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang tersebut.

Raja Nong Chik menegaskan, kerajaan akan memajukan kawasan selepas mendapat persetujuan daripada pemilik dan pewaris dan "tidak akan memaksa" penduduk jika mereka tidak bersetuju.

"Jika mereka tak bersetuju, kita berhenti di mana mereka tidak bersetuju. Kalau mahu duduk seperti sedia kala, (dalam) kawasan kampung, kita berhentilah," katanya sambil menambah kerajaan akan memberi galakan kepada pemilik tanah itu sendiri mahu tanah mereka dimajukan.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik yang juga ketua Umno Lembah Pantai berkata kerajaan juga akan memajukan tanah yang dimilikinya lebih kurang 100 ekar, khususnya beberapa kawasan termasuk pasar Chow Kit.

NONEMenjawab soalan pemberita, Raja Nong Chik menafikan dakwaan pembangkang bahawa tindakan kerajaan membentangkan deraf cadangan pindaan itu dalam keadaan tergesa-gesa.

"Kita tarik rang undang-undang (bacaan kali pertama) itu atas sebab teknikal sahaja, sebab ada (cadangan) pindaan oleh pihak NGO.

"Dan pindaan ini, kita sudah ambil kira dan kita ubah. Setelah ambil kira pindaan itu, nasihat daripada peguam negara, lebih baik bentangkan yang baru," katanya.

Menurutnya lagi, ada beberapa perkara daripada Pakatan Rakyat yang diambil kira dalam pindaan rang undang-undang yang dibentangkan baru-baru ini.

"Dan kebanyakan perkara ini, kita dah berbincang dengan NGO, kita pun dah ubahsuai, ada yang sama apa yang mereka (Pakatan) minta.

"Jadi kalau apa yang mereka minta dah dipersetujui, kenapa sekarang mereka tidak mempersetujuinya. (Jadi) nawaitu mereka hendak undang-undang itu gagal," katanya.

Ditanya berhubung kesediaan Pakatan Rakyat untuk membatalkan rang undang-undang ini jika menguasai Putrajaya, Raja Nong Chik berkata:

"Terpulang kepada mereka jika mengambil alih kerajaan. Kita tidak boleh halang. Dan saya tidak terkejut jika mereka meneruskan perbadanan ini," katanya sinis.

0 ulasan: