KUALA LUMPUR— Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyekat pengedaran buku “Seks Islam, Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” yang diterbitkan oleh Kelab Taat Suami kerana didakwa mengarut dan memalukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk seri Jamil Khir Baharom berkata perbincangan mengenai hubungan seks dalam buku berkenaan walaupun secara halal antara suami dan isteri adalah tidak wajar kerana ditonjolkan dengan cara tidak beradab dan boleh mengundang tanggapan negatif.
“Apatah lagi apabila membicarakan mengenai khayalan yang Allahyarham Asaari Muhammad atau Abuya (bekas pemimpin Al-Arqam) sedang melayari hidup di alam sendiri dan akan menguruskan isterinya untuk dibawa ke alam roh, ini hal karut,” katanya.
Kelab itu mencetuskan kontroversi apabila pelancarannya diumumkan awal Jun lalu.
Jamil Khir menambah, “kita akan siasat dengan teliti kandungan buku ini dan melihat sejauh mana tindakan yang boleh diambil, termasuk kepada Kelab Taat Suami yang diketuai Hatijah Aam (isteri Asaari) ini.”
Buku itu dilaporkan mengulas mengenai seks suami isteri secara terperinci.


0 ulasan:
Catat Ulasan