Umno-BN terlalu ghairah mahu Kampung Baru dihapuskan dengan alasan mengejar arus pembangunan.
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mahu Rang Undang-Undang Kampung Baru 2011 dibatalkan sama sekali jika Putrajaya berjaya ditawan dalam Pilihan Raya Umum akan datang (PRU13).
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai satu-satunya tanah perkampungan Melayu di bandar, warisan Kampung Baru perlu dipertahankan walaupun kegiatan ekonomi penduduk di situ rendah berbanding pembangunan lain di sekitarnya yang pesat membangun.
Beliau berkata parti lain dalam Pakatan termasuk DAP tidak pernah menyentuh isu ini, namun kesal dengan Umno-Barisan Nasional (BN) yang terlalu ghairah mahu Kampung Baru dihapuskan dengan alasan mengejar arus pembangunan.
“Ini saja tanah Melayu dibandar…PRU akan datang kalau Pakatan menang kita batalkan undang-undang ini tak kira lulus atau tidak,” katanya dalam ceramah ‘Selamatkan Kampung Baru’ dihadapan kira-kira 300 pemilik dan pewaris Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.
Anwar berkata pihaknya akan berbincang dengan pemimpin tertinggi Pakatan untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin bagi ‘menghalang’ penubuhan Akta Kampung Baru 2011.
Katanya, ini dalam usaha supaya Rang Undang-Undang Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan dalam Dewan Rakyat minggu lalu tidak dibahas di Dewan Negara secara tergesa-gesa sebelum diperkenan Agong dan kemudiannya digazetkan menjadi akta.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihaknya perlu mendapat persetujuan majoriti daripada penduduk Kampung Baru terlebih dahulu sebelum bersedia menghadap Sultan Selangor.
“Kita orang Melayu ada adat, apa-apa kita akan bincang…dulu kita silap sebab tak bincang terlebih dahulu,” katanya yang mahu menyerahkan cadangan itu kepada penduduk untuk diputuskan.
Beliau berkata pihaknya juga bersedia menawarkan bantuan khidmat profesional termasuk peguam dan perancang pembangunan, selain menubuhkan jawatankuasa khas bagi menentang Rang Undang-Undang Perbadanan yang melanggar undang-undang Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) yang masih wujud sejak tahun 1950.
“Saya nak minta tuan-tuan cabar dan kerajaan Selangor akan tolong tuan-tuan. Kita akan beri perkhidmatan dan sumbangan kerana Kampung Baru ini dulu adalah hak tuan-tuan dalam Selangor,” katanya.
Turut hadir dalam ceramah Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.


0 ulasan:
Catat Ulasan