
KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tuduhan pemimpin Umno bahawa peruntukan penyelenggaraan RM55 juta telah dilesapkan merupakan penghinaan ke atas kakitangan awam negeri itu.
Justeru, Khalid juga berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengkritik terus mendakwa kononnya wang itu diseleweng atau dilesapkan.
“Ini merupakan kali terakhir kerajaan negeri memberi penjelasan tentang perkara ini.
“Jika ada lagi tuduhan penyelewengan melibatkan dana kerajaan tanpa bukti sahih, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh dan media yang sewenang-wenangnya menyiarkan tuduhan itu,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Khalid (gambar), amanah rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu dan akan bekerja keras untuk memastikan amanah rakyat dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh tanggungjawab.
Justeru kata beliau, kerajaan negeri memandang serius tuduhan seorang bekas menteri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed kononnya baki peruntukan penyelenggaraan pada 2009 berjumlah RM55 juta telah dilesapkan kerajaan negeri.
“Tuduhan liar ini bertujuan untuk mencalar kewibawaan dan kredibiliti Kerajaan Negeri.
“Lebih dari itu, kita merasakan tuduhan ini turut menghina penjawat awam yang telah bekerja keras bagi memastikan dana negeri diurus dengan baik dan profesional,” kata beliau lagi.
Baru-baru ini laporan media memaparkan laporan mendakwa wang RM55 juta itu merupakan baki daripada peruntukan kerajaan pusat kepada negeri bagi menyelengarakan kemudahan infrastruktur di Selangor. Mohd Zin yang juga Setiausaha Umno Selangor meminta penjelasan Menteri Besar berkenaan cara duit itu dibelanjakan.
Khalid berkata beliau juga telah memanggil Pegawai Kewangan Negeri, Bendahari Negeri, Juruaudit Persekutuan dan Juruaudit Negeri, Jurunilai Jabatan Kerja Raya dan beberapa akauntan kanan bagi mengutarakan serangan yang cuba dikenakan terhadap mereka serta pegawai kerajaan secara amnya.
“Saya telah dimaklumkan bahawa perjalanan kewangan di negeri Selangor berdasarkan Pekeliling Perbendaraan yang digunakan pakai di seluruh Malaysia,” tegas beliau.
Pada 27 Februari 1993, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara telah memutuskan mulai 1994, semua kerajaan negeri hendaklah mewujudkan satu Kumpulan Wang Amalah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri yang mana semua pemberian dicarum terus ke dalam dana tersebut dan semua perbelanjaan direkodkan.
“Kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri dengan kod perakaunan 60002 bagi mengakaunkan terimaan dan bayaran pemberiaan penyelenggaraan jalan negeri.
“Justeru, penggunaan peruntukan MARRIS oleh kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Arahan Amanah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri,” kata beliau.
Khalid menjelaskan, pada 2009, kerajaan negeri menerima RM315,627,905 sebagai peruntukan penyelenggaraan nalan-jalan negeri daripada kerajaan persekutuan dengan purata terimaan RM26 juta sebulan.
Sejumlah RM328,751,219.30 telah digunakan pada 2009 iaitu pembayaran terus melalui Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri berjumlah RM78,751,219.30 dan pindahan kepada Akaun Hasil Disatukan Penyelenggaraan Negeri Selangor berjumlah RM250 juta.
Baki Akaun Amanah Penyelenggaran Jalan-jalan Negeri pada 1 Januari 2009 ialah RM67,533,879.91 dan baki pada 31 Disember 2009 adalah RM54,410,565.61.
Baki itu telah dibawa ke tahun lalu.
“Perincian ini jelas menunjukkan perjalanan dana ini mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Perbendaharaan Negara.
“Malah, perjalanan dana ini di Selangor telah diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2009 dan sepatutnya tidak dipertikaikan lagi,” kata beliau lagi.
Khalid menambah, “sebagai bekas menteri, Mohd Zin sepatutnya tidak membuat tuduhan melulu tanpa membuat sedikit kajian tentang perjalanan perakaunan negeri.”
Katanya, ia jelas menunjukkan beliau sememangnya tiada langsung pengetahuan asas dalam perakaunan.
“Kedangkalan pengetahuan beliau dan ditambah pula dengan tujuan politik, beliau telah memperkecilkan kebolehan penjawat awam menjalankan tugas untuk memastikan dana diurus dengan baik,” kata beliau lagi.

0 ulasan:
Catat Ulasan