Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ini adalah keputusan terbaik dan adil apabila faktor keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia dititikberatkan.
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung laporan pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di sini oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menghormati titah baginda Tuanku itu, Khalid berkata ini adalah keputusan terbaik dan adil apabila faktor keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia dititikberatkan.
“Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Khalid berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan piawaian prosedur operasi (SOP) di Jais agar jabatan itu dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan.
Katanya, jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh tokoh perundangan dan pakar agama selain pegawai kanan kerajaan yang akan diumumkan kelak.
“Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu ini.
“Sebaliknya isu ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Jais serta pengumpulan bukti,” katanya.
Sultan Sharafuddin dalam titahnya pagi tadi memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba mempengaruhi dan memesongkan fahaman serta kepercayaan orang Islam terhadap agama Islam.
“Merujuk kepada siasatan pihak Jais, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil.
“Oleh itu, setelah meneliti secara mendalam laporan Jais dan setelah mendapat nasihat dari pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu kenyataan media hari ini.
Jais pada 3 Ogos lalu menjalankan pemeriksaan ke atas majlis makan malam Hari Kesyukuran di Gereja Methodist Damansara Utama, Seksyen 13, di sini kerana mengesyaki wujud usaha memurtadkan orang Islam.


0 ulasan:
Catat Ulasan