KUALA LUMPUR ― Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) berkata hujah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan membawa kepada perpecahan orang Melayu tidak relevan sama sekali.
Presidennya Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan Sahol Hamid bahawa penglibatan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan perpecahan.
Haziq berkata, “kenyataan Naib Canselor UiTM bahawa pindaan AUKU akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Bumiputera dan Melayu di universiti itu, Kami kira sebagai sesuatu yang tidak relevan.”
Sehubungan itu kata beliau, Kami meminta penjelasan daripada Sahol Hamid berkenaan dengan Pertandingan Pidato Politik anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) yang diadakan di Shah Alam pagi tadi yang terang-terangan berunsurkan politik.
“Mahasiswa merasakan keterangan Naib Canselor UiTM hanyalah sekadar retorik semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini dan menambah, seolah-olah wujud percanggahan dalam hujah dan pendirian.
“Kalau betul tidak mahu mahasiswa berpolitik, jangan bagi kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus,” kata beliau.
Haziq berkata, tindakan memberi kebenaran kepada parti politik masuk ke kampus sebenarnya akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat khususnya mahasiswa.
“Berikan kebebasan kepada mahasiswa untuk meluahkan pendapat walaupun bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh pihak universiti.
“Tindakan mengongkong mahasiswa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah malah akan melahirkan Mahasiswa yang tidak kritikal,konservatif serta jumud dalam berfikir,” kata beliau lagi.
Tambah Haziq, “kalau orang politik boleh dibawa masuk ke kawasan kampus, apa salahnya berikan sahaja kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.”
Kelmarin Sahol Hamid dipetik berkata AUKU tidak perlu dipinda kerana politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapat pekerjaan bagi menjamin masa depan.
Kata beliau, berkata universiti itu tidak bersetuju dengan cadangan pindaan AUKU kerana kebebasan politik hanya akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Melayu dan Bumiputera di universiti.
“Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah,” katanya.
Sahol Hamid berkata pada masa ini, penuntut telah diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka melalui persatuan yang disertai serta pilihan raya kampus yang diadakan, dan ini sudah memadai.
Dalam pada itu, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, mahasiswa yang diberi kebebasan untuk menceburi bidang politik diyakini tidak akan mengabaikan pengajian mereka.
Khairy yang juga Ketua Pemuda BN dipetik Bernama Online berkata, ini kerana mahasiswa yang berpolitik mempunyai pandangan yang luas dan terbuka serta mempunyai sikap yang sihat.
“Saya aktif dalam bidang di luar akademik ketika di universiti tetapi saya juga beri tumpuan pada akademik, malah ia bantu saya untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis.
“Kalau beri kebebasan pun majoriti pelajar universiti tidak minat politik, ia sebahagian kecil sahaja. Kita boleh beri nasihat supaya kalau mereka nak terlibat dalam politik keutamaan adalah pengajian mereka,” katanya selepas merasmikan saringan zon tengah pertandingan pidato politik Piala Perdana Menteri di kampus induk UiTM di Shah Alam hari ini.
Pemuda Umno sebelum ini dilaporkan meminta kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU yang melarang pelajar daripada terbabit atau meluahkan rasa simpati serta sokongan kepada mana-mana parti politik negara ini.
Khairy berkata, ramai mahasiswa yang ingin menyertai perjuangan Umno tetapi disebabkan kekangan undang-undang di negara ini mereka tidak dapat merealisasikan hasrat itu.
“Kita jangan fikir bila beri mereka peluang untuk berpolitik mereka akan terus anti-kerajaan atau menentang kerajaan. Mereka ada sikap sihat untuk soal dasar kerajaan tetapi ini tidak bermakna mereka menentang kerajaan, ramai yang punyai fikiran kritis tetapi sokong kerajaan,” katanya.
Mengenai saringan pertandingan pidato politik, Khairy berkata ia diadakan mengikut zon dan terbuka kepada mahasiswa, profesional muda yang pernah terlibat dalam debat di universiti dan sekolah serta orang awam.
Beliau berkata, program anjuran unit pidato Pemuda Umno itu akan diteruskan di empat zon iaitu zon utara, selatan, pantai timur dan Sabah serta Sarawak.
Pertandingan akhir akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 November ini.
Ini adalah salah satu pendekatan Pemuda untuk memberi ruang kepada mereka yang minat politik untuk mengetengahkan potensinya sebagai bakal pemimpin di masa akan datang, katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan