Isnin, 14 November 2011

Kedai 1Malaysia: Menteri tidak bertanggungjawab

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen menjelaskan Ismail Sabri sebelum ini telah menyatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mahu rakyat berpendapatan rendah menikmati atau mendapat barangan dengan harga yang murah, sebab itulah PR mengecam tindakan penubuhan Kedai 1Malaysia.

"Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan oleh Ismail Sabri itu tidak bertanggungjawab dengan menuduh PR cuba menafikan hak yang sepatutnya dinikmati golongan berpendapatan rendah.

"Secara jelas ingin saya nyatakan bahawa PR sentiasa berjuang dengan kenaikan harga barang dan adalah satu yang mustahil bila wujudnya Kedai 1Malaysia kita menghalang.

"Yang sebenarnya kita tentang adalah cara penipuan yang dilakukan oleh kedai tersebut melalui produk keluaran mereka yang tidak menepati Akta Makanan dan Peraturan 281," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Tambahnya lagi, terlalu banyak produk yang dikeluarkan oleh mereka tidak menepati atau sama seperti apa yang dilabelkan pada produk mereka.

"Penipuan yang jelas adalah seperti apa yang berlaku pada sos tiram keluaran kedai 1Malaysia, dan menjadi tanggungjawab PR untuk terus membela penggunan, malah PR akan terus berperanan sebagai semak dan imbang dalam apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Kita bersetuju dengan penubuhan kedai tersebut tetapi jangan mengambil kesempatan atas pengguna dengan menawarkan produk yang tidak menepati piawaian makanan.

"Sepatutnya golongan berpendapatan rendah ini dilindungi bukannya dipergunakan. Kerajaan perlu pastikan bahawa segala produk tersebut menepati piawaian yang telah ditetapkan didalam akta dan jangan hanya fikir keuntungan semata-mata," katanya lagi.

Beliau memberitahu dengan peruntukan yang diterima sebanyak RM40 juta pada belanjawan kali ini perlulah memastikan barangan tersebut betul-betul berkualiti dan terjamin kesihatannya.

"Belanjawan yang besar diperolehi tetapi jangan pula dalam masa yang sama kedai tersebut hanya memikirkan keuntungan tanpa meneliti keperluan kesihatan pengguna," jelasnya lagi.

0 ulasan: