Ahad, 6 November 2011

Khaled: Aziz Bari perlu henti jadi pensyarah jika mahu ‘politik’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari meletakkan jawatan sebagai ahli akademik jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik.

Justeru Menteri Pengajian Tinggi itu berkata Aziz, yang sedang disiasat oleh tiga pihak termasuk UIA sendiri, tidak perlu menunggu tindakan universiti tersebut.

Tambah Khaled, universiti adalah institusi yang mengutamakan pencapaian akademik dan perlu berada dalam keadaan neutral demi mencapai matlamat menjayakan bidang pendidikan.

Siasatan ke atas Aziz (gambar) dikritik banyak pihak sebagai tindakan mengekang kebebasan akademik.

“Saya menasihatkan Abdul Aziz Bari berhenti menjadi pensyarah kalau mahu memilih pentas politik,” kata Khaled lagi.

“Jika sudah menyertai ceramah politik yang mengandungi fitnah, tidak perlu menunggu tindakan daripada UIA lagi,” kata beliau sambil menambah, “sebaiknya dia terus berhenti dan menyertai parti yang disokong.”

Dipetik Mingguan Malaysia hari ini, Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, beliau sedar Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat Johor Baru kelmarin, tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.

Aziz berucap pada ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat, komponen Pakatan Rakyat malam kelmarin.

Ia bukan kali pertama Aziz menghadiri ceramah dan forum anjuran parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Tambah Khaled, antara yang hadir adalah ahli Umno Pasir Gudang sendiri yang mahu mendengar hujah profesor itu yang kini dalam siasatan UIA berikutan kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal Ogos lalu.

Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Siasatan polis dan UIA dilaporkan sudah selesai.

0 ulasan: