Tian juga menyatakan bahawa pembahagian kerusi di Kuala Lumpur adalah berdasarkan status quo tahun 2008.
PETALING JAYA: Ahli parlimen Batu, Tian Chua menolak desas-desus bahawa Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan bertanding di kawasan parlimen Batu dalam pilihan raya umum (PRU 13) akan datang.
“Itu satu tohmahan yang belum menjadi kepastian,” kata beliau.
Sebelum ini tersebar laporan, Koh yang juga menteri di jabatan perdana menteri dilaporkan sedia bertanding di Batu dalam PRU 13. Bagaimanapun kebanyakan ahli Gerakan mahu presiden mereka bertanding di Pulau Pinang.
Tian juga enggan mendedahkan persediaan parti PKR menjelang PRU namun yakin bahawa partinya akan mengekalkan kemenangan yang dicapai partinya pada tahun 2008.
“Jika anda bertanya (Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama sama ada beliau akan memenangi pilihan raya presiden tentu beliau akan berkata ya,” kata Tian ketika ditanya mengenai peluang kemenangan PKR.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan maklumat mengenai kerusi selamat dan kerusi bahaya untuk PKR di Kuala Lumpur.
Dalam PRU 2008, PKR memenangi kerusi parlimen Lembah Pantai, Batu, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak. DAP memenangi kerusi Segambut, Cheras, Kepong, Bukit Bintang dan Seputeh. PAS memenangi kerusi Titiwangsa manakala BN masih bertapak di Setiawangsa.
Tian yang juga naib presiden PKR memberitahu FMT bahawa partinya akan mengekalkan status quo dalam menentukan kerusi yang akan ditanding di Kuala Lumpur.
PKR juga dijangka akan cuba sedaya upaya untuk merampas kerusi parlimen Wangsa Maju yang dimenangi Wee Choo Keong sebelum keluar PKR pada 2010.
Dalam perkembangan berkaitan, Wee enggan mengulas ketika ditanya samada beliau akan mempertahankan kerusi parlimennya.
“Isu pilihan raya tidak berada dalam fikiran saya sekarang. Ia masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara ini.
Beliau menambah bahawa PKR tidak begitu banyak menyusahkan beliau.



0 ulasan:
Catat Ulasan