Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shari berharap Parti Rakyat Malaysia tidak akan bertanding.
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amiruddin Shari yang juga setiausaha PKR Selangor berharap agar Parti Rakyat Malaysia dapat melihat agenda yang lebih besar untuk membawa perubahan.
“Kita memang berharap pertandingan satu lawan satu. Saya harap mereka dapat melihat agenda yang lebih besar untuk membawa perubahan dan reformasi,” kata Amiruddin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ingin bertanding tiga kerusi Parlimen.
Menurut presiden PRM Dr Rohana Ariffin, partinya mahu bertanding di tiga kerusi Parlimen Balik Pulau, Selayang dan Petaling Jaya Selatan kerana mendapat sokongan di kawasan tersebut dalam pilihan raya umum ke 13.
Ketiga-tiga kerusi ini kini dipegang wakil PKR – Yusmadi Yusoff, William Leong Jee Kern dan Lee Hoy Sian.
Penyertaan PRM di kerusi-kerusi tersebut akan mewujudkan pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun Amiruddin menambah bahawa sekiranya PRM masih bertegas mahu bertanding maka PKR akan mengalu-alukan pertandingan tersebut.
“Jentera (pilihan raya) kita memang sudah bersedia. Kita pernah berhadapan dengan pertandingan 14 penjuru,” kata Amiruddin sambil merujuk kepada pilihan raya kecil Bukit Selambau, Kedah yang menyaksikan pertandingan 14 penjuru pada tahun 2009.
PRK Bukit Selambau dimenangi wakil PKR S Manikumar.


0 ulasan:
Catat Ulasan