Jumaat, 11 November 2011

Maahad Mahmud Baling tunggu masa tertimbus

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Maahad Mahmud yang terletak di Baling, Kedah kini berada dalam keadaan amat merbahaya sehingga hanya menunggu masa untuk tertimbus.

Kejadian itu berlaku ekoran hakisan tanah pada cerung bukit di bahagian atas bangunan sekolah tersebut yang semakin kritikal.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib ketika mendedahkan kejadian itu berkata, keadaan itu bagaimanapun amat berbeza dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 48 Baling yang terletak berdekatan dengan maahad tersebut.

Menurutnya, keadaan istimewa Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 48 itu berlaku ekkoran perhatian baik pihak kementerian terbabit terhadapnya.

Katanya, namun perhatian yang sewajarnya tidak pula diberikan oleh pihak kementerian khususnya Kementerian Kerja Raya terhadap maahad tersebut.

"Sedangkan cerung bukit itu sekarang telah rosak teruk. Keadaan itu jika dibiarkan boleh menyebabkan Maahad Mahmud Baling itu tertimbus pada bila-bila masa," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak Kementerian Kerja Raya memberikan perhatian serius terhadap masalah itu bagi menyelamatkan maahad tersebut.

"Jasa baik kementerian untuk mengatasi masalah itu amat diperlukan. Carilah peruntukan dari mana-mana pun untuk mengatasinya," ujarnya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan keadaan Jalan Kulim Exspresway Timur Barat yang kini berlompak-lompak dan keadaan pada pembahagi jalan di Jalan Kuala Ketil yang ketiadaan lampu jalan.

Turut dibangkitkan oleh beliau keadaan Jalan Kuala Ketil - Sungai Petani yang bengkang bengok dan keperluan jalan tersebut dipertingkatkan kepada 4 lorong.

"Jalan-jalan di Alor Star juga perlu diperhatikan. Di jalan-jalan itu banyak terdapat u turn. Ini tak selari dengan penggunaan jalan, sehingga menyebabkan jalan dua line tiba-tiba menjadi satu line sahaja," katanya.

0 ulasan: