Khamis, 17 November 2011

Melayu Jangan Buta Tuli Sokong UMNO - Tuan Ibrahim.

KLPOS.COM

KUALA LUMPUR . - Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa umat Islam berbangsa Melayu di Negara ini agar tidak terus membuta tuli dengan mengambil pendekatan menyokong Kerajaan Pusat yang sentiasa melakukan propaganda yang dilihat menakut-nakutkan rakyat.
Beliau turut menjelaskan, UMNO telah menggunakan Pemikir-Pemikir Melayu Islam sebagai alat untuk menghasilkan nukilan-nukilan yang menggambarkan kelemahan Melayu dalam terus mempertahankan hak dan kebebasan apabila Kerajaan UMNO dijatuhkan.
UMNO kata beliau amat gusar dengan kewujudan Pakatan Rakyat lalu menggunakan platform media bagi menggambarkan gabungan 3 parti pembangkang ini bakal melemahkan kuasa orang Melayu dan menghakis pengaruh Islam.
“Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan UMNOah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.

"Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno. Namun, apa yang penting ialah ‘Adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?" tanya beliau.

Beliau turut mengambil contoh yang dakwanya menafikan dakwaan UMNO mementingkan kuasa Melayu Islam, apabila Parti tersebut tidak merombak penambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"UMNO dah tewas lebih 20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana."

"Kalaulah benar UMNO ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut."
"Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong UMNO di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?."
Tuan Ibrahim Tuan Man memberi penjelasan tersebut bagi menjawab isu-isu yang dilemparkan UMNO mengenai kelemahan PAS melalui Pakatan Rakyat dalam membela nasib orang Melayu dan Islam di Negara ini.

0 ulasan: