| Muhammad Faizal |
| KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik usaha Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjemput Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat dalam isu Projek Feedlot Kebangsaan (NFC). Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Halimi memberitahu ia adalah inisiatif terbaik dilakukan oleh Rafizi kerana mengemukakan jemputan debat kepada Khairy. "Kami berharap debat ini akan dapat dilakukan dalam suasana penuh berhemat dan secara intelektual berdasarkan hujah dan fakta-fakta yang kukuh dan kita tidak mahu ia berlangsung dengan cara emosional individu begitu juga mereka yang hadir. "Dalam pada itu kita melihat tidak ada alasan untuk Khairy menolak jemputan ini memandangkan beliau sendiri telah menyatakan kesediaan utk berdebat dengan sesiapa saja dan tempoh notis selama satu bulan seperti dinyatakan oleh Rafizi sewajarnya dapat digunakan oleh Khairy dalam mengatur jadual aktiviti beliau," jelasnya. Tambahnya lagi, penjelasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail berkaitan isu itu adalah tidak meyakinkan dan sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan akan kemungkinan wujudnya elemen penyelewengan dalam pengurusan kewangan NFC. "Justeru itu, pada masa sama AMK juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil serius akan dakwaan penyelewengan projek NFC serta menjalankan siasatan menyeluruh memandangkan ianya melibatkan dana awam dan laporan berkaitan isu ini juga telah pun dibuat di pejabat SPRM oleh sebuah NGO pada minggu lalu," sambungnya lagi. Semalam, Rafizi telah mengutus surat jemputan kepada Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau untuk berdebat berhubung isu skandal NFC. Dalam surat itu, beliau menyatakan tarikh cadangan debat tersebut dibuat pada 12 Disember ini bagi memberi ruang kepada Khairy menyusun semua jadual kerjanya. Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu Rafizi dalam debat berhubung dakwaan penyelewengan RM250 juta oleh NFC iaitu syarikat milik anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. |
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
11 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan