Jumaat, 18 November 2011

NFC: Muhyiddin juga perlu letak jawatan

Tindakan TPM membela Shahrizat memberi gambaran seolah-olah Ketua Wanita Umno itu tidak bersalah.


PETALING JAYA: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mendesak Tmbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan kerana turut bertanggungjawab dalam skandal pembelian kondominium mewah oleh National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Ketua Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata tindakan Muhyiddin yang membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi gambaran bahawa seolah-olah Ketua Wanita Umno itu tidak bersalah apabila melibatkan wang rakyat sebanyak RM250 juta, yang sebenarnya dikhianati dan diselewengkan tanpa rasa bersalah oleh ahli keluarga beliau.

Turut menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu Shahrizat meletakkan jawatan, Fariz berkata kenyataan Muhyiddin dan juga mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menafikan penglibatan Shahrizat itu dilihat begitu dangkal.

“Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail (suami Shahrizat) dan ahli keluarganya tidak akan memperolehi projek ini sekiranya mereka bukan ahli keluarga Shahrizat malah beliau juga turut merasai sama manfaat daripada projek tersebut.

“Beliau juga selaku menteri kerajaan gagal dalam menasihati ahli keluarga sendiri sehingga melibatkan penyelewengan dan berlakunya aktiviti pecah amanah yang melibatkan wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Abdullah yang mahu Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC itu memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai isu ini, namun dalam masa yang sama turut mendesak kes ini dibawa ke muka pengadilan kerana melibatkan jenayah pecah amanah.

“Kami mahu Muhyiddin meletakkan jawatan dengan segera kerana projek ini diluluskan oleh beliau serta termasuk meluluskan pinjaman RM250 juta dan beliau tahu kepada siapa projek tersebut diluluskan dan ternyata skandal NFC ini adalah satu bukti “projek nepotisme dan kronisme” yang dilakukan oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

NFC yang dilantik kerajaan sebagai integrator projek ternakan lembu kebangsaan dengan modal dana berjumlah RM250 juta, didakwa menggunakan dana tersebut untuk membeli kondominium mewah One Menerung bernilai RM9.8 juta di Bangsar.

Malah anak syarikat NFC, National Meat Livestocks Corporation (NMLC) yang membeli kondominium tersebut berhutang dengan NFC juga didakwa ditubuhkan dan dimiliki oleh pengurusan tertinggi NFC iaitu ahli keluarga Shahrizat.

0 ulasan: