Jumaat, 18 November 2011

NGO berbeza dengan PKR

Sebahagian NGO itu, hala tuju perjuangannya dikatakan sama dengan PKR.



PETALING JAYA: Menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa pemimpin PKR yang kalah dalam perebutan jawatan parti tahun lalu menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) walaupun masih aktif dalam parti.

Sebahagian NGO itu, hala tuju perjuangannya dikatakan sama dengan PKR.

Calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shaharin yang juga Ketua Cabang Rembau telah menubuhkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di mana beliau menjadi pengerusinya.

Bekas Timbalan Ketua AMK Fariz Musa yang kini Ketua Cabang Kuala Terengganu beberapa bulan lalu menubuhkan Jingga 13.

Manakala Mustaffa Kamil Ayub yang kalah kepada Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pula telah menubuhkan Memacu Arus Perjuangan (MAP) di Kuantan pada Sabtu lalu.

Mengapa menubuhkan NGO dan apa tujuan mereka berbuat demikian?

Pengerusi MAP, Razali Alias berkata, MAP bertujuan menarik sokongan orang ramai yang tidak berminat dengan politik tetapi mengambil tahu perkembangan negara.

Tiada kaitan dengan PKR

“Mereka ini tidak mahu menyertai parti politik jadi kita berharap menyertai NGO ini kerana ia tidak ada kena mengena dengan politik,” katanya.

Beliau menambah, untuk itu pintu keahlian MAP terbuka untuk sesiapa sahaja termasuk kepada penyokong Barisan Nasional.

Sementara itu, Fariz menjelaskan Jingga 13 tidak ada kena mengena langsung dengan PKR. PKR memperjuangan politik, sebaliknya Jingga 13 memfokuskan isu-isu rakyat.

“Dalam beberapa isu pendekatan melalui NGO lebih berkesan daripada politik. Sesetengah orang tidak mahu berhubungan dengan orang politik. Jadi ini pentingnya peranan Jingga 13,” kata Fariz yang juga Ahli Majlis Tertinggi PKR.

0 ulasan: