
SHAH ALAM : Pemilik rumah Shah Alam adalah golongan terkini yang berpeluang menikmati penjimtan bayaran premium sehingga RM100,000 di bawah dasar pemilikan tanah Kerajaan Selangor.
Bermula di kawasan DUN Kota Anggerik, pemilik banglo, semi-D dan teres berpeluang menikmati penjimatan dari lebih RM 100,000 untuk kediaman banglo dan RM 40,000 hingga RM60,000 untuk rumah teres.
Mereka juga dapat melanjutkan tempoh pajakan tanah kediaman mereka kepada 99 tahun dengan bayaran RM1,000 melalui ‘Kempen Lanjutan Tempoh Pajakan Tanah Ke 99 Tahun Dun Kota Anggerik'.
Bagi meraih peluang ini, penduduk mesti mengemukakan permohonan lanjutan tempoh pajakan ke Pusat Khidmat Dun Kota Anggerik.
Dengan kerjasama Pejabat Tanah Petaling, kaunter tempoh pajakan ini akan dibuka pada 22 sehingga 24 November bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang bertempat di Dewan Jejarum Seksyen 11.
Untuk fasa pertama, kempen ini akan melibatkan Seksyen 2, 3, 4, 6, 8, 10 dan 11.
Pemohon hendaklah melengkapkan butiran berikut sebelum hadir ke kaunter pada tarikh yang dimaklumkan:
i) Carian Rasmi (sila dapatkan di Pejabat Tanah dan Galian SUK Shah Alam)
ii) Hak Milik Asal
iii) 2 keping pelan lokasi yang telah disahkan oleh Juruteris Pejabat Daerah Petaling
iv) Senarai kad pengenalan pemohon
v) Salinan resit bayaran cukai taksiran terkini
vi) Surat kebenaran daripada bank (jika hakmilik ada gadaian)
Borang permohonan melanjutkan tempoh pajakan boleh di dapati di pejabat Pusat Khidmat, Seksyen 9 atau di Pejabat Daerah Tanah Petaling, Seksyen U5, Shah Alam.
Borang 12A, bahagian saksi hendaklah ditandatangani oleh peguam yang berdaftar, majistret atau pentadbir tanah.
Borang Jadual 1 dan sebahagianya, bahagian saksi boleh ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah, Penghulu, Ketua kampung dan JKKK.
Sementara itu, Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari menyatakan, pihaknya akan menghantar 'kit panduan' ke setiap rumah untuk memudahkan orang ramai yang berminat untuk mengisi borang bagi melanjutkan tempoh pajakan.
Sehingga kini reaksi yang diterima sangat baik dan Yaakob mensasarkan 3,000 permohohan sehingga hujung tahun ini.
"Kita mulakan percubaan di Petaling Jaya dan kita nampak sistem ini berjalan di sana. Saya kira Kota Anggerik tidak kritikal dan masih mempunyai baki pajakan dari 50 hingga 60 tahun. Tetapi di Petaling Jaya mereka ada tempoh dari 10 sehingga 15 tahun. Jadi kita dahulukan di sana. Seluruh negeri akan diadakan program ini," katanya.

0 ulasan:
Catat Ulasan