| KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan pegawai profesional Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi elaun khas seperti yang diterima pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mahfuz berkata, mereka yang terdiri daripada jurutera, arkitek dan juruukur bahan wajar diberi pengiktirafan kerana pekerjaan mereka melibatkan kepakaran.
"Perkara ini telah lama menjadi rungutan kepada pegawai JKR kerana jika mereka berdaftar dengan Institut Jurutera Malaysia, Persatuan Arkitek Malaysia dan Institut Juruukur Malaysia, mereka tidak boleh claim yuran dan tiada sebarang elaun khas diberikan walaupun mereka dikehendaki menandatangani lukisan yang sebenarnya," kata beliau sewaktu membahaskan Belanjawan 2012 di peringkat kementerian di dewan Rakyat petang semalam.
Selain itu Mahfuz turut mempersoal beberapa projek JKR yang dibuat secara rundingan melibatkan projek pembinaan institusi pengajian meskipun difahamkan tiada lagi projek rundingan terus di bawah inisiatif baru kerajaan.
Menurutnya, antara projek rundingan terus ialah projek pembinaan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (IAST) di Tanjung Malim, Perak yang melibatkan kos RM100 juta diberi kepada Uzaimain Enterpise (Alor Setar) Sdn Bhd.
Selain itu, projek Kampus UNIKL - Malaysian Institue Aviation Technology (MIAT), Subang bernilai RM200 juta diberikan kepada Nadi Cergas Sdn Bhd dan projek Institut Kemahiran Mara (IKM) Seberang Prai Utara, Pualau Pinang menelan kos RM 80 juta.
"Pihak kementerian boleh semak kos projek yang dibuat secara rundingan terus di bawah RMK 8 dan RMK 9 untuk semua universiti tempatan dan hospital dan adakah pernah disemak berapa kos yang terpaksa kerajaan tanggung jika dibuat secara tender rundingan terus berbanding tender terbuka atau selektif," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS. |
0 ulasan:
Catat Ulasan