KUALA LUMPUR ― Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terserah kepada publik sama ada mahu menerima penjelasan dikemukakan oleh pengurusan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) kontroversial, yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Shahrizat Abdul Jalil.
Projek itu kini disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis ekoran aduan pembelian dua unit kondominum menggunakan dana NFC.
Pembelian kondominum itu dengan setiap unit RM6.9 juta turut diperakui oleh Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
“Kami akan serah kepada orang ramai untuk memutuskan sama ada mahu menerima penjelasan NFC atau tidak sebab NFC sudah pun menjelaskan isu yang telah timbul,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hari Unesco di sini hari ini.
“Bagi kami, kerajaan, kami tahu kebenaran. Kami tidak akan termakan dengan cerita dibawa pembangkang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, laporan Bernama Online memetik Salleh berkata pihaknya mahu masyarakat melihat kepentingan peranannya dalam menjamin kecukupan bekalan makanan negara daripada hanya kontroversi yang diwujudkan sesetengah pihak.
Salleh berkata masih ramai yang tidak mengambil perhatian terhadap isu itu walaupun ia sebenarnya satu aspek yang nyata dan serius.
“Jaminan bekalan makanan adalah satu isu serius. Dan, tanpanya kita akan menjadi susah. Kita tak akan tahu kalau sekiranya Malaysia dikenakan embargo (sekatan), kita akan menghadapi masalah bekalan makanan,” katanya.
Menurut fakta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pada 2010, hanya sebanyak 29 peratus daging lembu dihasilkan dalam negara manakala selebihnya adalah diimport.
Jumlah keseluruhan penggunaan daging lembu di negara ini adalah sebanyak 162,360 tan metrik dengan jumlah pasaran bernilai RM2.035 bilion.
Selain 29 peratus daging yang dihasilkan dalam negara, jumlah yang diimport dari India adalah sebanyak 57 peratus, Australia (7.08 peratus), Uruguay (2.83 peratus), New Zealand (2.21 peratus) dan Amerika Syarikat selebihnya.
Dalam usaha memastikan kualiti, NFC menghasilkan lembu-lembu seberat purata 600 kilogram (kg) seekor berbanding lembu Kedah/Kelantan yang hanya boleh mencecah berat 300kg walaupun diberi makan lebih.
Salleh berkata penjagaan makanan lembu juga sangat teliti dan kesihatannya dijaga dengan baik termasuk tidak dibenarkan menerima pelawat sewenang-wenangnya untuk mengelak kemungkinan jangkitan dan wabak.
Lembu-lembu yang dihasilkan oleh NFC dijual dengan harga antara RM4,500 hingga RM5,000 seekor dan disembelih pada berat 600kg dengan perolehan daging sebanyak 280kg hingga 300kg.
NFC juga memilih baka Wagyu yang mempunyai banyak daging berbanding lembu Kedah/Kelantan, katanya.
Walaupun baka Wagyu susah hidup di kawasan tropika seperti Malaysia tetapi NFC sudah membuktikan buat kali pertama ia boleh diternak di sini dan menghasilkan jumlah daging yang banyak, kata Salleh.
Beliau juga menjelaskan bahawa daging baka Wagyu mempunyai satu lapisan lemak yang membuatkan daging itu lebih lembut berbanding daging lembu jenis lain.
“Untuk pasaran, daging ini akan dipotong oleh pakar-pakar kita mengikut kaedah pemotongan tenderloin, sirloin atau rib eye. Tenaga pakar digunakan kerana kegagalan memotong dengan betul akan menyebabkan harga daging itu jatuh,” katanya.
Salleh berkata pada awalnya pembeli termasuk beberapa pasar raya besar terkemuka di negara ini tidak percaya bahawa ada syarikat di Malaysia yang boleh menghasilkan daging lembu berkualiti tinggi.
Beliau berkata sebanyak 46 peratus hasil pengeluaran daging NFC dijual kepada pasar basah, 22 peratus kepada sektor pemprosesan, 20 peratus kepada sektor pasar raya besar dan selebihnya kepada sektor hotel, restoran dan katering.

0 ulasan:
Catat Ulasan