Sabtu, 19 November 2011

Program bergerak JPN diadakan di pedalaman kenalpasti penduduk tidak miliki dokumen

KENINGAU KINI

NABAWAN: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan prihatin dengan penduduk di Pedalaman yang tidak mempunyai dokumen seperti sijil lahir MyKid dan MyKad.

Katanya, ramai penduduk di kawasan terpencil di kawasan tidak mempunyai dokumen-dokumen berkenaan disebabkan mereka tidak dapat berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana masalah perhubungan yang terlalu jauh dan dibatasi dengan kemampuan kewangan.

“Kerajaan melalui JPN dan jabatan serta agensi yang berkaitan mengadakan gerakan bagi membantu penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri” katanya pada Program JPN Bergerak bersama Mahkamah Bergerak di Pegalungan pada Ahad.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, program berkenaan diadakan untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan datang ke pejabat JPN.

Katanya, program berkenaan akan berterusan bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil tidak tercicir daripada memperolehi dokumen-dokumen penting berkenaan.

Dalam masa yang sama Kurup merakam penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan sebagainya.

Hadir sama menjayakan program itu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Bobbey A. Suan, Pegawai Daerah Nabawan Bubudan O.T Majalu dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

0 ulasan: