Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperbaharui sistem pilihan raya (PSC) akan memanggil Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu pilihan raya yang berkait aspek perundangan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PSC Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili pada sidang media selepas selesai mesyuarat kali ke-4 jawatankuasa itu hari ini.
"Namun masih ada perkara yang belum kemas dan perlu kepada maklumat tambahan.
"Minggu depan pihak jawatankuasa memutuskan untuk menjemput peguam negara untuk datang bersama memberi pandangan dari segi perundangan perkara-perkara yang berkaitan perlembagaan," katanya.
Tindakan memanggil peguam negara itu dipercayai ada kaitan dengan isu penggunaan dakwat kekal yang menjadi tuntutan banyak pihak sebelum ini termasuk NGO Bersih 2.0.
SPR dalam beberapa kenyataan sebelum ini mendakwa, cadangan menggunakan dakwat kekal itu tidak dapat dilaksanakan kerana perlu kepada pindaan perlembagaan.
Ianya berhubung Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan hak seseorang untuk mengundi dalam pilihan raya.
Dakwat kekal yang dibeli dengan kos RM2.4 juta sebelum ini hampir dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 lalu, namun dibatalkan empat hari sebelum mengundi.
Terdahulu, mesyuarat jawatankuasa itu hari ini memanggil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi keterangan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai saksi.
Ianya bagi menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh anggota jawatankuasa itu sebelum ini.
Semalam, anggota parlimen Pakatan Rakyat dalam PSC itu memberitahu mereka telah memberi notis kepada JPN untuk memberikan data lengkap jumlah warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara dari tahun 2008 hingga 2011.
Selain itu, mereka mahu meminta PSC membuat ketetapan segera untuk menggesa SPR melaksanakan kaedah dakwat kekal.
Ia bagi mengelakkan SPR memberikan alasan tidak cukup masa untk membeli dakwat kekal apabila ia dipersetujui untuk digunakan.
Ambiga, Pemuda PAS dipanggil
Sementara itu, PSC hari ini juga memaklumkan akan memulakan sesi pendengaran awam esok bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Menurut Dr Maximus, seramai 11 orang saksi akan hadir esok termasuk pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan manakala Dewan Pemuda PAS akan dipanggil Sabtu ini.

0 ulasan:
Catat Ulasan