KUCHING ― Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap projek perintis guru bekerja sembilan jam sehari akan memberi gambaran sebenar tentang peranan dan beban seseorang guru, sekali gus menepis tanggapan salah sesetengah pihak tentang perkhidmatan pendidikan.
Kementerian Pelajaran memilih 19 buah sekolah rendah dan menengah di Sarawak, kesemua terletak di bandar raya ini, untuk melaksanakan projek perintis guru bekerja sembilan jam sehari mulai Januari depan. Daripada jumlah itu, 11 buah melibatkan sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah.
“Diharapkan selepas pelaksanaan projek perintis, gambaran sebenar beban tugas guru dapat diketahui kerana kini ada persepsi yang menganggap tugas guru hanya terhad pada hari Isnin hingga Jumaat,” kata Presiden STU William Ghani Bina dipetik Bernama Online hari ini.
Beliau berkata ramai tidak mengetahui ada sebilangan guru bekerja sehingga hari Ahad untuk mengendalikan aktiviti kokurikulum, menghadiri kursus dan aktiviti sekolah selain daripada tugas hakiki sebagai guru.
“STU mahu kesemua sekolah terlibat menyampaikan laporan yang sebenar dan jujur supaya persepsi ini dapat ditepis sama sekali,” katanya.
Selain Sarawak, projek perintis itu akan dilaksanakan di Melaka, Pahang dan Johor.
Seramai lebih 5,000 guru dan 104 sekolah di seluruh negara terbabit dalam projek perintis tersebut dengan guru sebelah pagi bertugas di sekolah mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan guru sebelah petang bertugas pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar) memberi jaminan ia tidak akan diperluaskan ke seluruh sekolah di negara ini sehingga keputusan penuh projek perintis tersebut diketahui.
Di sarawak, sekolah rendah yang dipilih ialah SK Chung Hua No 2, SK Chung Hua Sungai Buda, SK Bako, SK Bandar Semariang, SK Combine, SK Kenyalang, SK Madrasah Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SK Satria Jaya, SK St Mary dan SK St Theresa.
Ghani berkata sekolah menengah yang terpilih ialah SMK Bandar Kuching No.2, Sekolah Seni Kuching, SMK Tabuan Jaya, Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, SMK St Joseph, Kolej Vokasional Batu Lintang, SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor Stampin dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi.
Terdahalu The Malaysian Insider membawa laporan bahawa Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu membazir manakala kebanyakan sekolah pula kurang kemudahan selesa bagi tenaga kerja.
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata, pihaknya pasti bahawa kajian perintis itu tidak akan membawa hasil positif jika mengambil kira kemudahan semasa di kebanyakan dan beban kerja setiap guru buat masa sekarang.
“Kita tahu bahawa kajian perintis ini tidak akan membawa keputusan positif yang diharapkan... jadi mengapa kita hendak membuang masa dan wang rakyat.
“Lagipun guru tidak perlu diwajibkan kerja sembilan jam seperti perkhidmatan lain, sebagaimana dikatakan oleh menteri, guru-guru sebenarnya kerja lebih daripada sembilan jam... misalnya kita ambil kira seorang cikgu yang meninggal dunia bersama dua anak muridnya,” kata beliau.
Kata Hashim, besar kemungkinan guru-guru tidak akan berminat dengan dasar baru kerja sembilan jam ini, dan oleh itu “kerajaan hendak meneruskan kajian perintis ini.”
Hashim berkata Kementerian Pelajaran hendak menjalankan kajian perintis sebelum mewajikan kaum guru juga berkhidmat selama sembilan jam sehari seperti kakitangan awam yang lain.
“Langkah ini bertujuan menjadikan perkhidmatan pendidikan seperti perkhidmatan lain di negara ini. NUTP merasakan langkah ini tidak sesuai, tidak kena tempat memandangkan sifat perkhidmatan itu sendiri berbeza sifatnya,” kata beliau.

0 ulasan:
Catat Ulasan