Jumaat, 18 November 2011

Tanah Orang Asli dilindungi, kata Najib

FREE MALAYSIA TODAY

"Kita mesti buat survey (ukur) dan kita mesti gazetkan tanah-tanah ini supaya harta Orang Asli ini kita dapat lindungi, kita dapat pertahankan," kata Perdana Menteri.



BANTING: Kerajaan akan berusaha melindungi tanah hak milik Orang Asli daripada dicerobohi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

“Kita mesti buat survey (ukur) dan kita mesti gazetkan tanah-tanah ini supaya harta Orang Asli ini kita dapat lindungi, kita dapat pertahankan,”
kata beliau semasa melakukan lawatan kerja dalam Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 di Perkampungan Orang Asli di sini hari ini.

Najib berkata langkah mewartakan tanah milik Orang Asli itu akan dilaksanakan menerusi pindaan Akta Orang Asli 1954 serta dirunding dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Perdana Menteri berkata kerajaan pusat akan terus mempertahankan dan membela nasib Orang Asli dan akan mengaturkan pertemuan serta dialog antara mereka dan kerajaan-kerajaan negeri.

Semasa ditemui pemberita kemudian, Najib yang ditanya sama ada masalah pencerobohan tanah Orang Asli itu serius, berkata ianya bukan satu masalah serius tetapi tanah demikian perlu dilindungi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu pemberita bahawa perbincangan antara wakil orang Asli dengan kerajaan Negeri Sembilan dan Perak telahpun selesai manakala perbincangan juga telah diaturkan dengan kerajaan negeri Kelantan dan Kedah.- Bernama

0 ulasan: