Ketua Penerangan PKR Pahang, Razali Alias berkata pihaknya telah mendapat tahu beberapa individu yang mendakwa mereka adalah calon parti itu.
PETALING JAYA: PKR Pahang kini berdepan dengan masalah mereka yang mengaku sebagai calon parti itu dalam pilihan raya umum (PRU 13) akan datang namun pada hakikatnya, parti itu belum memilih siapakah yang akan menjadi calon.
Ketua Penerangan PKR negeri, Razali Alias berkata pihaknya memberi amaran keras supaya jangan menyamar sebagai calon dan ahli parti yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan disiplin.
“Tindakan mereka yang menyamar itu boleh menganggu pentadbiran parti selain memberi tanggapan tidak elok komponen Pakatan Rakyat terhadap PKR negeri.
“Kita telah mendapat tahu beberapa individu yang mendakwa beliau adalah calon parti kononnya telah mendapat sokongan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ramai minat jadi calon
“Saya tidak tahu perkara sebenar mengapa ia berlaku tetapi saya ingin menegaskan hasrat orang untuk menjadi calon PKR semakin besar.
“Cukup berbeza dengan PRU lalu di mana ada kawasan sukar untuk mencari calon,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dengan nada ketawa, Razali berkata, mereka sudah yakin bahawa PKR akan menawan Putrajaya dalam PRU akan datang.
Sebelum ini Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang mendakwa Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat selepas PRU 13.
Razali berkata, PKR Pahang dapat mengesan ada beberapa individu yang mengaku sebagai calon dan mengutip dana daripada orang ramai dan memandang serius kes ini serta pihaknya sedang memantau kes tersebut.
Tindakan serta merta
Sementara itu, Ketua PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid menjelaskan pihaknya akan mengambil tindakan serta merta ke atas individu terbabit.
Bagaimanapun, Ahmad Nizam yang juga seorang peguam berkata, sehingga ini beliau belum menerima laporan mengenai perkara tersebut.
“Di Temerloh saya tidak terima laporan mengenai orang yang menyamar sebagai calon PKR untuk PRU 13. Kalau ada kita akan ambil tindakan serta merta ke atas mereka,” katanya.
Menurutnya, oleh kerana itu tidak boleh sesiapa pun yang mendakwa mereka adalah calon PKR.
“Saya membuat peringatan ini kerana PKR tidak mahu mereka yang tidak bertanggungjawab sengaja mendakwa sebagai calon tetapi sebenarnya mahu memburukkan parti. Dalam politik terutama dengan pilihan raya yang semakin hampir, semua boleh berlaku,” tambahnya.


0 ulasan:
Catat Ulasan