DALAM usaha memudahkan dan menggalakkan orang ramai membayar zakat, AmIslamic Bank melancarkan saluran pembayaran zakat terbaru di mana pembayar zakat boleh membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan tanpa wayar menerusi kad kredit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahdi Murad berkata, perkhidmatan berkenaan memberi peluang kepada kira-kira 150,000 pemegang kad kredit AmIslamic untuk membuat pembayaran zakat tanpa perlu berkunjung ke kaunter bayaran zakat kelolaan Lembaga zakat Selangor (LZS).
“Perkhidmatan yang kami sediakan ini bertujuan memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat pada bila-bila masa kerana kami akan membuka kaunter di tempat tumpuan awam seperti pusat beli-belah.
“Malah, pemegang kad kredit Islam daripada institusi kewangan lain juga boleh menggunakan perkhidmatan ini dan tidak terhad kepada pelanggan AmIslamic Bank saja,” katanya selepas majlis pelancaran yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, sebelum ini, pihak AmBank Islamic turut menyediakan saluran pembayaran menerusi dalam talian serta perbankan mudah alih daripada akaun simpanan dan akaun semasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, Disember adalah antara waktu yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk membuat pembayaran zakat dan pihaknya menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai.
“Bulan puasa dan Disember adalah waktu yang sering menjadi pilihan pembayar zakat dan kami menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan urusan pembayaran zakat dilakukan,” katanya.
Menurutnya, pada tahun lalu, pihaknya mengutip sekitar RM337 juta zakat dan meletakkan sasaran kutipan sebanyak RM350 juta sehingga akhir tahun ini.--MyMetro

0 ulasan:
Catat Ulasan