Sabtu, 10 Disember 2011

ABU dilancarkan besar-besaran, desak rakyat tolak Umno

Ia menggesa rakyat menyatakan rasa jijik dan meluat terhadap penyelewengan dan rasuah yang dilakukan Umno/BN.



KUALA LUMPUR: Satu gerakan rakyat yang dikenali sebagai Asalkan Bukan Umno/BN (ABU) akan dilancarkan secara besar-besaran pada 15 Disember ini di Markas Tarbiyah PAS,Taman Melewar,Gombak.

Ia menggesa rakyat menyatakan rasa jijik dan meluat terhadap penyelewengan dan rasuah yang dilakukan Umno/BN.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, gerakan dibuat di seluruh negara ekoran kemusnahan sistem negara yang dilakukan oleh Umno.

Beliau yang turut dikenali sebagai Chegu Bard berkata, gerakan di Sabah dan Sarawak akan dibuat secara senyap-senyap.

“Sumber dalaman kami memberitahu bahawa kempen ini tidak boleh dibuat di Sabah dan Sarawak atas alasan keselamatan.

“Sasaran adalah kemusnahan yang diciptakan Umno. Malaysia akan menjadi lebih bersiap sedia tanpa Umno. Malaysia lebih dinamik dan berdaya saing. Rakyat lebih berkaliber dan cerdik jika tidak diperbodohkan Umno.

“ABU yang digerak dan dipacu oleh rakyat. Kami gambarkan ia gerakan rakyat,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor/Kuala Lumpur hari ini.

Kempen rakyat

Chegu Bard menjelaskan bahawa kempen ini didokong sepenuhnya oleh rakyat tanpa penglibatan mana-mana parti politik.

“Ia gerakan rakyat. Ini bukan urusan parti politik ,tapi hal rakyat yang dimunculkan oleh Umno. Ia bukan sekadar program tapi satu gerakan,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Pergerakan Hak-hak Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim pula berkata, ABU membawa kebenaran kepada rakyat agar mereka sedar apa yang dilakukan oleh Umno selama 40 tahun memerintah.

Katanya, sumbangan yang dilakukan Umno selama ini hanya berpaksikan kroni sehingga membawa Malaysia menjadi lebih muflis.

“ABU bawa kebenaran dan kesedaran kepada rakyat tentang pemerintahan Umno/BN. Apa sumbangan Umno dan kroni-kroni dalam BN sehingga menyebabkan Malaysia muflis?,” soal beliau.

Turut hadir dalam sidang media itu termasuklah Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) V Selvam, Ahli Jawatankuasa Parti Rakyat Malaysia (PRM) Zulkarnain Abdullah dan Timbalan Presiden KAMI, Khalid Mohd Ismath.

0 ulasan: