Sabtu, 10 Disember 2011

AUKU: Pinda OK tapi jangan mansuh, kata bekas YDP MPPUPM



KUALA LUMPUR — Mahasiswa seharusnya tidak dipengaruhi oleh elemen-elemen parti politik kerana mereka merupakan ejen pembaharuan politik, demikian kata seorang pendebat yang diundang khas untuk berdebat berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya malam tadi.

Mohd Syamsul Salleh, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPPUPM) berkata, mahasiswa seharusnya menentang perkara-perkara buruk yang dibawa parti seperti rasuah, penyelewengan, politik kotor dan sebagainya, bukannya menyertai parti.

“Seharusnya mahasiswa tidak dipengaruhi oleh ideologi mana-mana parti politik,” katanya.

“Idea-idea kita yang masih segar ini diperlukan untuk merubah politik negara yang pada pandangan mata ramai telah tercalar ekoran skandal dan penyelewengan,” kata guru kemahiran di Sekolah Vokasional Kota Tinggi Johor ini membidas kenyataan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Abd Razab yang mahukan AUKU dimansuhkan terus.

Menurut Syamsul, bukan semua elemen AUKU itu menekan mahasiswa, tetapi hanya sesetengah seksyen yang dilihat tidak lagi relevan untuk diguna pakai pada masa kini.

“Saya tetap tegaskan pendirian saya, kita perlu pinda, bukan mansuhkan AUKU, masih lagi ada beberapa perkara dalam akta ini yang masih relevan, seperti soal pengambilan kakitangan universiti, pengambilan tanah untuk dibina universiti dan banyak lagi.

“Kita seharusnya melihat perkara ini secara keseluruhan, bukan melihat aspek kecil iaitu Seksyen 15 yang tidak membenarkan mahasiswa menyertai politik, dan terus tuntut mansuhkan AUKU,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, mahasiswa masih belum cukup matang untuk bergerak sendiri tanpa bimbingan dan pemantauan sesiapa kerana golongan itu jelasnya masih muda dan kurang berpengalaman.

“Orang muda memang tak pernah cukup, semua tak betul, kita masih perlukan bimbingan, pemantauan daripada orang yang lebih tua, sebab itu AUKU digubal, untuk pastikan kita ada had supaya tidak melangkaui sempadan,” jelasnya lagi.

Dalam perdebatan itu, Ahmad Shukri, yang mewakili parti Pro Mahasiswa mengutarakan pendiriannya menuntut AUKU dimansuhkan kerana menurutnya, kehadiran akta itu mengongkong perkembangan ilmu secara neutral dan menjadikan institusi pengajian tinggi gagal menjalankan tanggungjawab mendidik dengan berkesan.

“Mansuhkan AUKU dan kita akan menyaksikan autonomi dikembalikan kepada universiti, kita akan lihat universiti itu menjadi medan ilmu tulen tanpa kekangan daripada mana-mana pihak,” tegas Shukri.

Jelas Shukri, tanpa AUKU, mahasiswa akan berupaya melangkah lebih jauh dan menjadikan budaya ilmu itu lebih luas berbanding sekarang, yang padanya keadaan yang sempit akibat kekangan sesetengah pihak.

“Kami alau-alukan ahli politik hadir ke dalam kampus dan terangkan dasar-dasar mereka kepada mahasiswa, itu adalah pelajaran buat mahasiswa, AUKU ini hanya menyekat pelajar daripada mengambil tahu perkara-perkara sedemikian,” tegasnya lagi yang berpendapat setiap parti politik seharusnya diberi menerangkan dasar-dasar perjuangan mereka kepada mahasiswa.

“Sekiranya perkara sedemikian disekat, mahasiswa tak akan belajar sedangkan itu adalah mata pelajaran yanmg bagus untuk pelajar. Untuk itu, AUKU harus dihapuskan secara total,” tegasnya.

Debat yang berlangsung sekitar dua jam itu kecoh seketika apabila pihak keselamatan UM mula campur tangan mengarahkan peserta dan penonton bersurai.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Mohd Syahid Mohd Zaini meluahkan perasaan kesal dengan tindakan pihak keselamatan UM itu.

Menurutnya, tindakan itu merupakan arahan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti terbabit yang telah memberi amaran dan menimbulkan provokasi dalam debat tersebut demi menyekat kebebasan akademik dalam kampus.

“Ini bukti usaha mereka menyekat kebebasan akademik dalam kampus, kami bukan melakukan kesalahan, tetapi kami hanya menganjurkan debat dalam kalangan pelajar sahaja,” tegasnya dan memberitahu pihak HEP memberikan alasan program mereka itu tidak mendapat kebenaran dan harus dihentikan segera.

Debat anjuran Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) itu menyasikan kehadiran sekitar 60 peserta, berlangsung di Dewan Fakulti Undang-undang kampus universiti berkenaan untuk mendengar debat yang bertajuk AUKU dan autonomi mahasiswa.

0 ulasan: