KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi pendiriannya bahawa kumpulan mahasiswa, yang didakwa menurunkan bendera wajah Datuk Seri Najib Razak di pekarangan ibu pejabat Umno kelmarin, harus meminta maaf.
Tegas beliau, soal perbezaan pendapat adalah perkara yang berbeza dan kumpulan itu harus meminta maaf kerana perkembangan menunjukkan mereka bersalah.
“SMM/Bebas mesti minta maaf atas tindakn turunkan bendera. Nak beza pndapat bab lain, itu soal lain.Tapi bab bendera, anda salah,” kata beliau (gambar) menerusi mesej Twitter petang ini.
Terdahulu dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider, pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas)menegaskan, mereka tidak akan memohon maaf kepada perdana menteri atas insiden itu.
Sebaliknya, pemimpin SMM dan Bebas, yang mengadakan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum insiden itu berkata, pihaknya tidak nampak perlunya mereka harus memohon maaf.
“Kami tidak akan meminta maaf. Kita tak perlu meminta maaf. Tindakan menurunkan bendera Datuk Seri Najib selama lima minit dan kemudian dinaikkan semula seharusnya dilihat sebagai satu mesej jelas mahasiswa bahawa perdana menteri perlu serius mendengar suara kami, suara rakyat” kata Pengerusi SMM Ahmad Syukri Abdul Razak ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.
Dalam satu lagi mesej Twitter kepada pemegang akaun @peterkhoon, Saifuddin berkata, “apa jua alasan (diberikan), menurunkan bendera adalah salah.”
Dalam mesej susulan, Saifuddin juga berkata tindakan menurunkan bendera bukan politik baru.
Beliau juga menjawab pemegang akaun @alifftarmizi bahawa AUKU merupakan undang-undang yang mengurus tadbir institusi pengajian tinggi (IPT).
Katanya, “semua negara ada undang-undangnya. Yang nak dipinda ialah Seksyen 15 untuk membenarkan mahasiswa berpolitik.”

0 ulasan:
Catat Ulasan