Ahad, 11 Disember 2011

DAP: Akta lembaga jurukomputer profesional langkah mundur

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR ― DAP menentang Rang Undang-Undang Lembaga Juru Komputer Profesional (BCPM) yang hendak diperkenalkan oleh pentadbiran Najib, kata Lim Guan Eng hari ini.

Setiausaha Agung DAP ini berkata, tidak harus ada usaha untuk mengawal kebebasan rakyat mendapatkan maklumat dan tindakan membawa undang-undang sedemikian adalah satu langkah mundur kerajaan Malaysia.

“Itulah sebabnya kita tidak takut dikritik apabila menubuhkan sudut pidato yang pertama di Malaysia.

“Itulah sebabnya kita meluluskan Akta Maklumat Bebas sebagai penghormatan kepada hak rakyat untuk mendapat maklumat,” kata beliau sambil menambah, “itulah sebabnya DAP menentang Rang Undang-Undang Lembaga Juru Komputer Profesional di mana hanya jurukomputer profesional yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk melakukan kerujuteraan perisian untuk kegunaan kerajaan.

Lim (gambar) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kejuruteraan perisian secara asas memerlukan kebebasan, kepintaran dan kreativiti yang tidak semestinya boleh diperolehi daripada mereka yang mempunyai ijazah.

“Adakah para pakar dan ikon dalam industri teknologi maklumat (IT) seperti Steve Jobs (Apple), Bill Gates (Microsoft) dan Mark Zuckerberg (Facebook) boleh berjaya jika terwujud undang-undang yang sebegini?

“Tindakan yang langsung tidak masuk akal dan bersifat mundur ini lantas menimbulkan soalan adakah kerajaan BN ingin mengawal maklumat dan penggunaan internet?” katanya lagi.

Beliau mengatakan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Prai pagi ini.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.

Kelmarin, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memberi jaminan bahawa cadangan penubuhan BCPM adalah satu badan yang mengiktiraf para pengamal Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di negara ini sebagai ahli profesional di dalam domain juru komputer masing-masing.

Kementerian itu BCPM tiada matlamat untuk mengawal atur profesion jurukomputer di negara ini tetapi ia hanya diguna pakai kepada mereka yang dikenal pasti sebagai entiti Infrastruktur Maklumat Negara Kritikal (CNII).

Langkah itu bertujuan menjaga kepentingan negara memandangkan persekitaran global yang dinamik dan mencabar.

Pendaftaran sebagai Profesional Juru Komputer dengan BCPM tidak dijadikan mandatori, kata kementerian.

Pendaftaran dengan BCPM tidak sahaja terpakai bagi graduan dari domain jurukomputer, malah turut mengambil kira graduan dari disiplin lain yang mempunyai pengalaman jurukomputer serta mereka yang mempunyai kelayakan profesional dalam domain jurukomputer masing-masing.

Lim menambah, atas hutang budi kepada ahli-ahli pengasas DAP, kita harus melaksanakan janji untuk masa depan di mana rakyat Malaysia akan hidup dalam keadaan yang saksama, makmur, sihat, berpendidikan, bebas untuk memilih dan menunaikan hak-hak mereka serta bermartabat.

“Marilah kita, negeri Pulau Pinang, terus mempelopori jalan dengan pengamalan pentadbiran yang cekap dan kepimpinan yang menjaga semua tanpa mengira bangsa serta tidak ekstrim dan bersifat perkauman.

“Marilah kita menuju kejayaan melalui transformasi Pulau Pinang kepada bandar pintar dan antarabangsa yang lantas akan membawa kepada transformasi Malaysia,” katanya lagi.

0 ulasan: