Seorang doktor pakar Hospital Kuala Lumpur hari ini mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami Mohamad Sabu "boleh berlaku" seperti dakwaan bahawa timbalan presiden PAS itu cedera akibat terjatuh setelah dilanggar kereta polis.
Dr Ankimtay Rutel yang merawat Mohamad pada hari perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu berkata demikian ketika disoal dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee bertanya kepada Ankimtay, 31, sama ada kecederaan berdasarkan pemeriksaan itu konsisten dengan "hentaman" yang didakwa dialami Mohamad.
Ankimtay, yang bertugas di jabatan ortopedik HKL pada waktu itu, bersetuju apabila ditanya demikian.
Ditanya lanjut oleh Lim, sama ada kecederaan yang dialami itu konsisten dengan dakwaan bahawa Mohamad terjatuh selepas dilanggar kereta polis, Ankimtay berkata "boleh berlaku."
Lim bertanya demikian dengan merujuk satu laporan oleh hospital pakar KPJ Selangor bertarikh 25 Julai, hasil daripada rawatan dan pembedahan yang dijalankan ke atas Mohamad di hospital berkenaan pada 15 Julai.
Ketika disoal pemerhati polis, ACP Jamaludin Abdul Rahman selepas itu, Ankimtay bagaimanapun berkata Mohamad terjatuh setelah "berlanggar atau dilanggar" oleh kereta polis.
Ditanya lanjut, Ankimtay berkata kecederaan yang tersebut juga konsisten dengan kecederan yang pernah dilihatnya pada penunggang atau pembonceng motorsikal yang cedera akibat dilanggar atau terjatuh akibat dilanggar.
Berdasarkan pemeriksaannya, Ankimtay juga berkata beliau mendapati bahawa Mohamad mengalami luka dan juga bengkak di bahagian lutut berkenaan.
Katanya lagi, luka bersaiz 1.5 cm kali 2.5 cm yang dialami Mohamad itu tidak serius dan tidak membahayakan nyawa.
Dua imbasan x-ray yang dijalankan juga tidak menunjukkan apa-apa keadaan "tidak normal" pada bahagian tulang lutut berkenaan, katanya lagi.
Mohamad seterusnya diberikan rawatan pesakit luar dan tidak diberikan bagaimanapun beliau bagaimanapun hanya memberikan pil penahan sakit dan bengkak kepada Mohamad kerana kecederaan itu tidak membahayakan nyawa.
Mohamad Sabu telah menerima rawatan awal daripada seorang lagi saksi inkuiri hari ini, Dr Nurul Azlean Norzan, ketika mula-mula dibawa ke Balai Polis Jinjang selepas insiden tersebut berlaku.
Nurul berkata beliau tidak melihat apa-apa "kesan seretan di jalan raya" ketika pemeriksaannya ke atas bahagian lutut kanan Mohamad.
"Kalau jatuh atas jalan patutnya ada kesan batu atau pasir... Kecederaan itu tidak mencadangkan bahawa dia jatuh atas jalan," tambahnya.
Inkuiri yang dijangka akan bersidang sebanyak enam kali lagi, akan bersambung esok dengan siasatan ke atas seorang lagi doktor dan dua orang anggota polis.
Inkuiri hari ini dijalankan di hadapan panel pesuruhjaya Suhakam; Profesor Datuk Dr Mahmoud Zuhdi A Majid, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Detta Samen.
Mohamad sebelum ini mendakwa polis telah menggunakan kenderaan pacuan empat roda Land Rover untuk merempuh motosikal yang diboncengnya ketika dalam perjalanan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

0 ulasan:
Catat Ulasan