PAS tidak perlu memperjuangkan Negara Berkebajikan seperti diamalkan oleh mana-mana negara maju termasuk di Eropah, kata bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Hasan Ali berpendapat PAS kini perlu kembali kepada perjuangan asalnya iaitu menubuhkan Negara Islam.
Katanya, PAS tidak lagi perlu memperjuangkan Negara Berkebajikan memandangkan itu hanya konsep ‘biasa’ yang berjaya diamalkan oleh mana-mana negara maju termasuk di Eropah.
Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan peribadinya apabila mengatakan PAS kini sudah mula lari daripada matlamat asalnya.
“Negara Berkebajikan tak perlu dijalankan PAS. Mana-mana negara yang hebat macam Sweden, Norway, United Kingdom dan negara Eropah lain turut mengamalkan konsep yang sama.
“Saya rasa orang-orang yang mempunyai pendidikan sekular mampu melakukannya, tetapi untuk meletakkan asas Negara Islam dalam masyarakat Islam kita memerlukan ulama’ yang berfikiran jauh untuk menggarap Islam dalam konteks moden,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, golongan ulama’ PAS suatu masa dulu berjaya meletakkan inti agama dalam masyarakat moden, namun perjuangan itu semakin hilang apabila PAS mula mengubah konsepnya kepada Kerajaan Perpaduan dan kemudiannya Negara Berkebajikan.
Perubahan bilangan golongan ulama’ yang semakin berkurangan berbanding golongan profesional dalam PAS yang berfikiran sekular turut menjadi faktor konsep Negara Islam ini dilupakan, katanya.
“Prinsip perjuangan saya adalah untuk meletakkan semula PAS dilandasan asal.
Politik akomodasi
“Dari pengamatan saya PAS mula dikuasai oleh golongan bukan ulama’ yang lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi hingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti yang telah dipertahan sejak penubuhannya,” tegasnya sekaligus menafikan dirinya menjadi ‘duri dalam daging’ parti.
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata dirinya tidak keseorangan malah turut mendapat sokongan pemimpin tertinggi PAS, ahli, penyokong PAS, rakyat lain termasuk masyarakat bukan Islam untuk memperjuangkannya.
Walaupun mengakui dari segi kronologi kerjasama PAS dengan DAP dan PKR sehingga terbentuk Pakatan Rakyat menjadi punca kepada perubahan matlamat asal parti, Hasan bagaimanapun berkata itu bukan faktor utama, tetapi polisi yang ditetapkan pemimpin parti sendiri.
“Bila PAS sertai Pakatan Rakyat sudah tentu ada beberapa perkara perlu diubahsuai tetapi jangan ubah suai Islam.
“Namun begitu saya bukanlah individu yang pernah menyuarakan hasrat PAS perlu keluar dari Pakatan untuk kembali kepada matlamat perjuangan asalnya,” katanya yang berharap isu Negara Islam akan dibincangkan semula dalam parti.
Konsep Negara Berkebajikan mula diperkenalkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak tahun 2008 dan secara rasminya diperjuangkan semasa Muktamar Agung PAS Jun lalu.
Menawarkan 10 agenda dengan konsep rakyat adalah tuan dan kerajaan hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada wang rakyat, PAS kini turut giat melancarkan buku ‘Negara Berkebajikan: Tawaran PAS’ bagi mempromosikan perjuangan mereka kepada rakyat sekaligus untuk meraih sokongan.


0 ulasan:
Catat Ulasan