Kenyataan Adun Hulu Kelang itu mengenai penggugurannya di kerusi Gombak Setia merupakan punca kepada tercetusnya polemik.
KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menggesa agar Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti kerana mengeluarkan kenyataan berhubung senarai calon PAS untuk Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).
Katanya, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu mengenai penggugurannya di kerusi Gombak Setia merupakan punca kepada tercetusnya polemik sehingga menyebabkan pergeseran antara pemimpin parti.
“Saya ingin menyarankan supaya pimpinan tertinggi parti mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan PAS Selangor.
“Beliaulah yang mula menyemaikan bibit perpecahan dikalangan ahli dan penyokong parti. Tindakan beliau jelas tidak menguntungkan parti,” katanya dalam sidang media dirumahnya di sini hari ini.
Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor sebaliknya menegaskan bukan dirinya yang menjadi punca kepada timbulnya isu ini, tetapi Saari.
“Saya ingin tegaskan kepada ahli dan penyokong PAS dan kepada sesiapa sahaja bahawa saya bukanlah pihak yang menimbulkan polemik ini.
“Sebaliknya isu ini timbul hasil daripada pengumuman yang dikatakan tidak kena masa dan tempatnya oleh Ketua Penerangan PAS
Selangor mengenai pencalonan nama saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar satu siasatan terperinci dibuat ke atas proses pencalonan dan keputusan akhir bilangan pencalonan yang diterimanya di kawasan Gombak seperti yang dibuat oleh PAS kawasan itu.
“Siasatan ini dicadangkan bagi melenyapkan sebarang spekulasi yang timbul berkaitan dengan pencalonan saya,” katanya.
Hasan minta bukti
Sementara itu, dalam responnya terhadap kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini yang mendakwa beliau terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS, Hasan menggesa agar bukti dan fakta dikemukakan segera.
Beliau yang terperanjat dengan kenyataan balas itu berkata, Mustafa yang merupakan antara pimpinan paling senior dalam parti seolah- olah secara spontan memberi pandangan begitu negatif dan mengandungi unsur niat jahat terhadapnya.
“Setiausaha Agung PAS itu juga dengan bongkak dan sombong menggunakan autoriti jawatannya melatah dan hilang arah hingga sanggup bermain dengan api fitnah dan meletakkan diri beliau di paras yang rendah dari sudut kewibawaan dan kemampuan mengawal emosi,” katanya.
Selain itu, berhubung dengan kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang dengan sinisnya mempersilakannya menyertai Umno, Hasan sebaliknya berkata kenyataan sedemikian hanya mungkin ditimbulkan oleh orang-orang yang bangkrap pemikiran dan jelas tidak mengikuti perkembangan mutakhir sesuatu isu.


0 ulasan:
Catat Ulasan