
MALAYSIA KINI
DAP menyifatkan "kekosongan maklumat" yang dirujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebenarnya hasil kegagalan kerajaan kerana melakukan "penggelapan minda dan strategi" apabila berdepan isu kontroversi.
Veteran DAP Lim Kit Siang (bawah) berkata, Najib ketika melancarkan TV 1Malaysia semalam membuat pemerhatian menarik apabila mengeluarkan kenyataan bahawa golongan muda beralih kepada laman dalam talian alternatif dalam era maklumat.
"Tetapi apakah TV 1Malaysia merupakan penyelesaian, atau ia akan menjadi sebahagian penyebab kepada 'kekosongan maklumat' yang mengguggat kewibawaan kerajaan?" soal Lim.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim menyalahkan situasi dalam pentadbiran Najib sendiri.
"Walaupun Najib berkata bahawa penting untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat daripada menggelapkannya... pentadbirannya selama ini bersalah terhadap 'penggelapan' minda dan strategi apabila menghadapi keadaan sukar," katanya.
Beliau menyenaraikan tindakan berdiam diri beberapa isu berkaitan, antaranya kedudukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kedudukan Malaysia dalam ranking rasuah Transparency International.
Najib semalam dilaporkan berkata, ahli politik dan pegawai kerajaan perlu mengadaptasi kemudahan media sosial untuk merapatkan diri dengan rakyat berikutan wujudnya permintaan yang tinggi untuk maklumat dalam negara.
Najib berkata kebaikannya ialah pengguna dapat berinteraksi secara langsung dengan rakyat yang sebelum ini tidak pernah berlaku seperti pada zaman ayahandanya Tun Abduk Razak Hussein dan zaman itu rakyat agak sukar untuk mendapatkan maklumat.
Apabila wujudnya vakum seperti ini, mereka akan mendapatkannya daripada sumber lain yang adakalanya dicampur aduk dengan dongeng atau rekaan, termasuk berita palsu dan fitnah, tambahnya.

0 ulasan:
Catat Ulasan