Kerajaan negeri melihat isu utama kepada krisis ini ialah mekanisma subsidi bersilang (cross-subsidy) yang diberikan oleh kerajaan kepada KTB, kata Khalid Ibrahim.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu menyelesaikan segera krisis pengangkutan awam yang berlaku selepas Konsortium Transnasional Bhd (KTB) mengantung perkhidmatan bas City Liner di Selangor atas alasan kerugian operasi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, SPAD harus berbincang dengan KTB untuk menyelesaikan masalah ini hingga menyebabkan lebih 80,000 pengguna pengangkutan awam terkandas di seluruh Selangor.
“Kami berharap SPAD dan KTB akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, kami akan berbincang dengan SPAD untuk mencari penyelesaian alternatif sekiranya masalah ini gagal diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri melihat isu utama kepada krisis ini ialah mekanisma subsidi bersilang (cross subsidy) yang diberikan oleh kerajaan kepada KTB.
“Lesen yang diberikan kepada KTB untuk membolehkan City Liner menyediakan perkhidmatan di laluan yang menguntungkan yang dapat menampung operasi bagi laluan yang tidak menguntungkan. Ini adalah perjanjian asas ketika lesen itu diberikan kepada KTB.
“Adalah tidak adil untuk syarikat ini hanya meneruskan laluan menguntungkan tetapi menghentikan laluan tidak menguntungkan sedangkan syarikat ini telah menerima asas perjanjian ketika lesen dikeluarkan.
“Sebagai contoh, pemaju yang diberikan kelulusan untuk sesuatu projek pembangunan juga perlu membina rumah kos rendah sebagai sebahagian daripada projek pembangunan.
“Walaupun kedua belah pihak sedar pembinaan rumah kos rendah ini tidak menguntungkan, tetapi kerajaan tidak boleh membenarkan pemaju lari dari tanggungjawab membina rumah kos rendah hanya kerana ia merugikan,” jelas Khalid.
Mengenai permintaan KTB untuk subsidi daripada kerajaan negeri bagi meneruskan laluan yang tidak menguntungkan itu, Menteri Besar berkata, perkara ini menunjukkan polisi pengswastaaan Malaysia gagal serta telah lari dari matlamat asal dasar perswastaan yang mahu mengurangkan beban kerajaan dalam perniagaan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
“Sejak sekian lamanya, kerajaan menyediakan suasana perniagaan dengan jaminan keuntungan berterusan tetapi apabila perniagaan
dilanda kerugian, kerajaan terpaksa pula menanggung beban untuk menyelamatkan operasi syarikat.
“Kerajaan perlu menghentikan amalan pemberian perniagaan yang hanya menguntungkan individu di bawah skim penswastaan,” tegas beliau.


0 ulasan:
Catat Ulasan