
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) memberi amaran kepada penganjur perhimpunan 901 supaya tidak membuat sebarang kekecohan di kawasan Masjid Wilayah Kuala Lumpur di Jalan Duta 9 Januari ini.
Mohd Syahril Abdul Aziz, Ahli Majlis Tertinggi Pekida berkata, pada tarikh berkenaan Pekida akan menganjurkan satu program dakwah dan Qiamullail memohon keamanan dan keharmonian negara di masjid tersebut.
Tambah beliau, sekiranya pada hari tersebut kumpulan itu yang beragenda untuk menyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak membuat onar, Pekida tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Sekiranya mereka (peserta perhimpunan 901) membuat onar, Pekida Malaysia akan ambil tindakan, jangan melampaui apa yang telah dirancang,” kata Syahril.
“Kita ada program dakwah dan qiamullail yang telah dirancang lebih awal lagi. Jadi mereka jangan buat kacau. Masjid adalah tempat untuk berdakwah dan beribadah,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk memberi penjelasan berhubung program tersebut.
Katanya, program tersebut telah dirancang oleh Pekida lebih awal lagi menegaskan ianya kebetulan bertembung dengan tarikh perhimpunan 901.
"Kami merancang program ini lebih awal lagi. Ia akan bermula dari 8 Januari dan dijangka tamat pada keesokan harinya. Kepada penyokong Anwar Ibrahim, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar yang turut dipanggil untuk memberi penjelasan di ibu pejabat polis tersebut menyatakan keyakinannya yang pihak berkuasa mampu bertindak bijak di dalam menangani sebarang perkara yang tidak diingini.
Tambah beliau, Perkasa yang akan turut menyertai program bersama Pekida menganggarkan seramai 2000 ahlinya akan menghadiri program itu.
Beliau turut memberi jaminan pihaknya tidak akan melakukan sebarang bentuk provokasi pada hari tersebut.
"Saya jamin ahli Perkasa tidak akan membuat sebarang provokasi. Kami akan hanya berada di kawasan masjid untuk program tersebut sahaja," kata Abdul Rahman.

0 ulasan:
Catat Ulasan