Majlis angkat sumpah dan pelantikan Exco baru itu berlangsung di Istana Bukit Kayangan, pagi tadi.
SHAH ALAM: Ahli Dewan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik Exco Selangor sekaligus meleraikan spekulasi siapa yang bakal menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Majlis angkat sumpah dan pelantikan Exco baru itu diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berlangsung di hadapan baginda di Istana Bukit Kayangan di sini pagi tadi.
Dr Yunus ialah pembantu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, yang Exconya ialah Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali.
Beliau mula bergiat dalam PAS pada pertengahan tahun 90an dan kini memegang jawatan Yang Dipertua Kawasan Kuala Langat dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya.
Sebelum ini calon lain yang disebut-sebut menjawat jawatan Exco tersebut adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar yang juga pembantu Hasan Ali.
Hasan Ali sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.
Empat calon lain yang tersenarai termasuklah Adun Hulu Kelang Saari Sungib, Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz, Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Selat Kelang Dr Halimah Ali.
Namun Iskandar dan Dr Halimah masing-masing sudah memegang portfolio Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan serta Exco Pendidikan.
Dalam pilihan raya umum 2008, Dr Yunus mengalahkan calon Barisan Nasional yang juga bekas Exco Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar dengan majoriti 2,081 undi.
Turut berada di majlis ini adalah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dr Rani dan pimpinan kerajaan negeri yang lain.
Rombakan kecil
Dalam satu sidang media selepas majlis berlangsung, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan rombakan kecil portfolio kerajaan negeri.
Dr Yunus, 47, diberi tanggungjawab memegang portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan manakala Abdul Khalid sendiri memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Abdul Khalid berkata rombakan kecil itu berkuatkuasa hari ini bagi memastikan kesinambungan kerja berjalan dengan lancar.
“Dr Yunus sebelum ini adalah Pembantu Exco Belia dan Sukan. Kami percaya beliau boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab,” kata Abdul Khalid.
Selain rombakan portfolio Exco, Khalid turut mengumumkan pelantikan Dr Rani sebagai Pengerusi Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL).
Adun Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pula dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (Padat) di mana kedua- dua jawatan itu sebelum ini disandang oleh Hasan Ali.
Satu amanah
Dr Yunus dalam sidang media sama, menyifatkan pelantikan beliau sebagai satu amanah dan kesinambungan bagi memastikan kerja berjalan lancar.
Beliau tidak menjangkakan akan dilantik sebagai Exco baru sebaliknya berkata beliau menjangkakan kerajaan negeri akan melantik Dr Rani.
“Saya tidak menjangkakan akan dilantik sebab Dr Rani diletakkan sebagai calon. Portfolio Belia dan Sukan ini menjadi amanah memandangkan sebelum ini saya adalah timbalan bagi jawatan itu.
“Maka portfolio itu adalah kesinambungan untuk memastikan tanggungjawab dilaksanakan dengan lancar,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai pelantikan beliau sebagai Exco.


0 ulasan:
Catat Ulasan