
SHAH ALAM : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman di depan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak baharu-baharu ini.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata peristiwa ini bukan sahaja suatu tragedi hitam dalam sejarah gerakan kebebasan akademik malah ia adalah satu bentuk penghinaan terhadap mahasiswa.
"Apa yang berlaku semalam membuktikan bahawa pendekatan pentadbiran Dato' Sri Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
"Insiden ini jelas menzahirkan bahawa pentadbiran Dato' Sri Najib Razak tidak serius dalam usaha meminda Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan ianya tidak lebih sekadar gimik politik murahan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,"katanya dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.
Tengah malam 31 Disember lalu, Pengerusi Gerakan Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang patah tulang rusuk akibat dipukul polis yang cuba menghalang himpunan aman menuntut kebebasan akademik di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
Beliau kini terlantar dan dirawat di Hospital Slim River, Perak akibat kecederaan tersebut.
Rakaman video insiden tersebut yang kini hebat dimuatnaik di beberapa laman sosial di internet juga jelas menunjukkan bahawa pihak polis telah bertindak keterlaluan tatkala meleraikan demonstrasi aman tersebut.
Mengulas lanjut, Shamsul mempersoalkan kewajaran bagi sekumpulan mahasiswa yang berhimpun menuntut kebebasan akademik dilayan dan diperlakukan sedemikian zalim oleh pihak berkuasa.
Shamsul juga mengingatkan kepimpinan Najib agar mengambil ikhtibar kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim dengan menindas anak muda dan mahasiswa.

"Ini jelas bertentangan dengan janji beliau (Najib Razak) sendiri kononnya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra anak muda.
"Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim UMNO-Barisan Nasional,"jelas Shamsul.
Justeru, AMK menuntut supaya satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden keganasan ini dan anggota polis yang bertanggungjawab mencederakan mahasiswa dihadapkan ke muka pengadilan.
"Kami juga menuntut supaya Menteri Dalam Negeri yang bertanggungawab terhadap pasukan polis supaya memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi serta ahli keluarga mereka.
"AMK juga menawarkan khidmat guaman kepada semua mahasiswa yang terlibat sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pihak polis," kata beliau dalam satu kenyataan media.

0 ulasan:
Catat Ulasan