Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : NGO Jingga 13 menyambut baik keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun berpendapat ia tidak semestinya menggambarkan institusi kehakiman Malaysia sudah bebas.
Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, banyak lagi kelompongan dan kelemahan yang perlu ditangani kerajaan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.
“Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara penghakiman yang mendapat perhatian dunia, namun masih terdapat banyak kes-kes yang memerlukan pembelaan dan seringkali mencetuskan polemik kepercayaan rakyat yang harus terus mendapat perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Saifuddin, keputusan itu juga menunjukkan kecekapan pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan hujah pembelaan, menyebabkan hakim berpuas hati dan membuat keputusan tepat.
Sehubungan itu, katanya, Jingga 13 akan memberi komitmen terbaik ke arah membantu membaik pulih sistem kehakiman negara.
“Peristiwa bersejarah pada 9 Januari 2012 itu tidak seharusnya membuat rakyat terlena, tapi lebih siap siaga merubah sistem bobrok ini secara total dan menyeluruh,” katanya lagi.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan fitnah meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan itu sekaligus membuktikan kes berkenaan merupakan satu konspirasi yang digunakan untuk mengaib dan menjatuhkan ketua pembangkang itu.
Anwar, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, diheret dalam tuduhan berkenaan buat kali kedua, mengulangi semula konspirasi pertama semasa beliau dipecat dari jawatannya dalam kerajaan pada 1998.
Perbicaraan fitnah II ini memakan masa hampir dua tahun dan turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang menuntut supaya Anwar diberikan keadilan sewajarnya.

0 ulasan:
Catat Ulasan