Sabtu, 14 Januari 2012

BN Setuju Pakatan Daftar Jadi Parti Politik

Post Pic


KOTA BHARU : Barisan Nasional (BN) tidak bermasalah jika Pakatan Rakyat didaftarkan sebagai sebuah parti politik dengan simbol tersendiri untuk bertanding pada pilihanraya umum akan datang, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat perlu menyelesaikan isu pendaftaran yang berlarutan sejak 2010 dengan Pendaftar Pertubuhan,” tambah beliau.

“Pendaftaran gabungan parti itu adalah dibawah ROS, saya percaya tidak ada sebab mengapa kita nak menghalang (mereka mendaftar) dengan simbol tersendiri,” kata Nazri.

“Saya nak bagi tahu, saya sokong kalau ada simbol baru. Semua orang dah kenal simbol-simbol (pembangkang yang) sedia ada, kalau ada simbol baru ia memberi keuntungan kepada BN kerana rakyat tidak kenal dengan simbol baru tersebut. Jadi tidak ada sebab untuk menghalang,” tambah beliau.

Nazri berkata demikan di Wacana Perdana Pilihanraya Bebas Dan Adil : Realiti Atau Ilusi.
Turut menyertai panel perbincangan ialah Bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

ROS dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap saling tuduh menuduh sejak tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu mengemukakan permohonan untuk menjadi sebuah badan politik seperti BN pada lewat 2010.

Bagaimanapun ROS menganggap permohonan itu batal dengan tersendiri apabila pemohonnya Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR tidak lama kemudian.

Pakatan mendakwa ROS sengaja tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan, tuduhan yang mengundang kecaman daripada Ketua Pengarah Pendaftar Abdul Rahman Othman.

Isu itu masih berlarutan sehingga sekarang sungguhpun PR mendakwa telah mengemukakan permohonan baru.

0 ulasan: